ZOLKURNIAN (kiri) bersama Chong (tengah) mendengar penerangan daripada Muhammad Rojana.
ZOLKURNIAN (kiri) bersama Chong (tengah) mendengar penerangan daripada Muhammad Rojana.
Zuhainy Zulkiffli


Jika di Thailand, Muhammad Rojana-Udomsat dikenali sebagai pelukis otai yang tidak kedekut ilmu membantu bakat baru melebarkan kerjaya seni dalam dan luar negara.

Di Malaysia pula, pelukis yang fasih berbahasa Melayu ini cukup dikenali dalam kalangan pelukis tempatan berikutan keunikan karya dan kesungguhannya dalam mengangkat seni lukisan bertemakan alam semula jadi dan batik ke persada global.

Berasal dari Pattani, graduan Kolej Seni Pho Chang itu kembali semula ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan mengadakan pameran solo bagi memberi pendedahan kepada peminat seni selain berhasrat memberikan sokongan dan galakan kepada penuntut seni di universiti terbabit.

Muhammad Rojana berkata, pada awal pembabitan dalam bidang seni, dia gemar mengabadikan tema alam semula jadi dalam lukisan berikutan latar belakangnya yang membesar di kawasan yang kaya dengan keindahan ciptaan Tuhan.

SENI batik turut diketengahkan dalam lukisan bertajuk Moon Light.
SENI batik turut diketengahkan dalam lukisan bertajuk Moon Light.

Di kelilingi gunung, pohon menghijau dan bunga mekar banyak memberi inspirasi kepadanya dalam berkarya selain bereksperimen dengan pelbagai teknik menghasilkan lukisan.

“Sepanjang lebih 30 tahun pengalaman, saya mencuba pelbagai medium seperti menggunakan cat minyak, warna air dan akrilik sebagai eksperimen dalam menghasilkan sesebuah lukisan.

“Saya dapati gabungan lukisan alam semula jadi dengan batik mempunyai nilainya tersendiri dan di situlah tercetusnya kepuasan dalam berkarya,” katanya yang sudah menghasilkan lebih 1,000 lukisan.

Muhammad Rojana ditemui pada majlis perasmian pameran lukisannya ‘In Three Elements Of Arts’ di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM, baru-baru ini.

Pameran yang dijangka berakhir 9 Januari ini dirasmikan Pengarah Muzium Zolkurnian Hassan bersama Pengarah Urusan Mee Ca Mee Shopping Centre Chong Swee Kek.

Terdapat 90 lukisan batik Muhammad Rojana dipamerkan yang bertajuk Moon Light, Pulau Ketam, Flower, Story Of Life dan Lotus, dengan saiz antara 75 x 75 sentimeter (sm) hingga 200sm x 510sm.

PENGGUNAAN warna keemasan menaikkan lagi keindahan karya.
PENGGUNAAN warna keemasan menaikkan lagi keindahan karya.

Keunikan karya Muhammad Rojana ialah penggunaan warna emas bagi menunjukkan dengan jelas antara alam semula jadi dengan kehidupan dan ternyata persembahan itu memberi makna serta penceritaan tersendiri.

Muhammad Rojana berkata dia mengambil masa sebulan bagi menyiapkan lukisan bertajuk Moon Light itu.

Ia menggambarkan keindahan malam berlatarkan gunung, hutan dan bunga-bungaan.

Katanya, pameran itu diharap dapat mencetuskan inspirasi dan idea kepada penuntut terutama bagi bakat baru atau yang ingin menjadikan bidang berkenaan sebagai satu kerjaya dalam meraih pendapatan.

“Bukan mudah untuk terus bertahan dalam bidang ini kerana ia mengambil masa lama bagi seseorang pelukis itu sebelum dikenali.

“Namun mereka perlu mempunyai kesabaran tinggi selain sentiasa bereksperimen dengan peluang dan perkembangan semasa.

“Paling penting ialah tidak berputus asa dan sentiasa belajar daripada pengalaman kerana ia akan mematangkan karya pelukis,” katanya.

MUHAMMAD Rojana (berdiri lima dari kiri) bersama kenalan yang hadir bagi memberi sokongan pada pameran solonya.
MUHAMMAD Rojana (berdiri lima dari kiri) bersama kenalan yang hadir bagi memberi sokongan pada pameran solonya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 1:56 PM