FARHAD Fakhrian.
FARHAD Fakhrian.
ELHAM Shafaei.
ELHAM Shafaei.
KARYA berjudul Sleep Away/Nothing To Say.
KARYA berjudul Sleep Away/Nothing To Say.
WAJAH dikaburkan membolehkan penonton menghuraikan perspektif sendiri.
WAJAH dikaburkan membolehkan penonton menghuraikan perspektif sendiri.
PENUNTUT USM mengunjungi pameran yang berlangsung di MGTF.
PENUNTUT USM mengunjungi pameran yang berlangsung di MGTF.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Penuh penghayatan, perasaan dan luahan rasa dipaparkan menerusi karya pelukis Iran Elham Shafaei di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Menerusi tema ‘melancholia’ dan estetika, Elham cuba menyampaikan kesedihannya dalam pelbagai siri lukisan bertajuk ‘I’m Still Crying’ yang digambarkan menerusi bahasa tubuh.

Elham yang menetap di Pulau Pinang sejak 2010 berkata, pemilihan konsep melancholia atau kemurungan menggambarkan dirinya yang suka menangis, namun bukan kerana mengalami tekanan atau beremosi.

Sebahagian lukisan Elham menggunakan medium cat minyak, akrilik dan kanvas manakala sebahagian lagi menggunakan pen dakwat yang dilukis di atas kertas Russia.

“Saya suka menangis kerana ingin merasai sendiri perasaan yang lahir dari hati dan fungsi tubuh ketika itu selain menzahirkan bukti mutlak yang wujud dalam hidup saya.

“Seni ini muncul bersama air mata yang datang dari dalam diri dan ia ibarat puisi dalam hidup yang menzahirkan kesepian,” kata pelajar tahun dua ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Seni Halus di Pusat Pengajian Seni USM.

Elham ditemui ketika majlis pelancaran pameran ‘We Were There’ yang menggabungkan karya lukisannya bersama jurugambar Iran Farhad Fakhrian, pelajar tahun akhir dalam bidang sama yang mengetengahkan hasil fotografi gabungan konsep melancholia dan estetika.

Bagi Farhad, tema fotografi bertajuk ‘My Fathers Goes To Heaven’ itu antara kenangan dan perasaan di dedikasi kepada bapanya yang meninggal dunia pada April 2006.

Katanya, melancholia dan nilai estetika dipaparkan menerusi lensa kamera yang merakamkan gambar secara kronologi ketika bapanya dimandikan, dikafankan dan sekitar majlis pengebumian.

“Ketika menerima panggilan mengenai pemergian bapa, tiada lain yang terlintas di fikiran selain mencapai kamera dan merakamkan gambar dengan linangan air mata.

“Walaupun foto berkenaan adalah karya kecil, ia memberi maksud dalam skala besar kepada saya mengenai kehilangan orang yang dikasihi,” katanya.

INFO

We Were There

- Artis: Elham Shafaei dan Farhad Fakhrian

- Lokasi: Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM

- Tarikh: 11 hingga 30 Januari ini

- Masa: 9 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 04-653 3888 / 3261 / 3294

- FB: mgtfusm

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 11:40 AM