SUAMI isteri yang terselamat masih menerima rawatan di Hospital Besar Tawau. FOTO ihsan Polis
SUAMI isteri yang terselamat masih menerima rawatan di Hospital Besar Tawau. FOTO ihsan Polis
Junaidi Ladjana


Tawau: Suami isteri yang selamat selepas bot dinaiki bersama 13 lagi individu yang karam di perairan laut Tinagat, dekat sini, tengah malam semalam, dalam keadaan stabil.

Namun, Budiman Muslimin, 26, dan isterinya Hasmida Masaniaga, 24, yang berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia, masih dalam pemerhatian pihak Hospital Besar Tawau kerana terminum air laut yang banyak selain mata serta kerongkong dimasuki pasir.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, menurut kedua-dua mangsa mereka menaiki bot dari Batu Payung Tawau, menuju ke Nunukan Indonesia melalui Sungai Nyamuk, 5.30 petang Selasa.

"Kira-kira 7 hingga 10 minit selepas bertolak, bot berkenaan karam dipercayai dipukul ombak besar. Ketika itu, suami isteri dan 13 lagi penumpang lain termasuk lima kanak-kanak dan seorang bayi tercampak ke laut.

"Suami isteri itu dipercayai berenang dan hanya berpaut dengan satu jaket keselamatan bersama-sama. Selepas lebih 25 jam berada di laut akhirnya mangsa tiba di tepi pantai sebelum dibantu oleh orang awam," katanya, di sini, hari ini.

Fadil berkata, bilik gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibuka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memandangkan kejadian bot karam berlaku di enam batu nautika dari pantai Batu Payung menghala ke selatan.

"Operasi SAR masih dijalankan membabitkan tujuh pegawai dan 30 anggota. Turut membantu gerakan SAR Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Tambah Fadil, operasi SAR dijalankan di tujuh batu nautika selatan Tinagat.

Sementara itu, Konsul Republik Indonesia Tawau sudah dimaklumkan dan akan melawat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 1:10 AM