OPERASI mencari dan menyelamat mangsa kejadian bot karam di perairan Tinagat, Tawau. FOTO ihsan APMM
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa kejadian bot karam di perairan Tinagat, Tawau. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana


Tawau: Satu lagi mayat mangsa bot karam di perairan Tinagat, Tawau, Selasa lalu, ditemui 5.48 petang tadi, menjadikan tujuh orang sudah ditemui manakala enam orang masih hilang termasuk kanak-kanak.

Mayat mangsa lelaki ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan laut Batu 4, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat.

"Setakat ini, jumlah mayat mangsa bot karam yang ditemui adalah tujuh orang iaitu dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa termasuk wanita hamil serta tiga kanak-kanak.

"Berpandukan keterangan awal dipercayai enam mangsa termasuk kanak-kanak belum ditemui," katanya di sini, hari ini.

Fadil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dihentikan sementara dan akan disambung semula 6.30 pagi esok.

Operasi SAR dijalankan polis, APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain agensi.

Dalam kejadian 6 petang Selasa lalu, bot dinaiki 15 orang termasuk tekong, dikatakan terbalik terkena ombak besar menyebabkan semua mangsa tercampak ke laut.

Hanya dua penumpang iaitu suami isteri terselamat selepas berpaut pada jaket keselamatan.

Antara 7 hingga 11 pagi tadi, Badan SAR Nasional (BASARNAS) Indonesia yang menjalankan operasi SAR menemui enam mangsa termasuk empat beranak di perairan Pulau Sebatik, Indonesia.

Empat mayat sudah dikenal pasti oleh ahli keluarga mangsa iaitu Hadra Hadde, 40; serta tiga anak lelakinya, Taki Mohd Zaki, 6; Mohd Faiz, 4, dan Mohd Asraf, sembilan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 11:56 PM