Junaidi Ladjana


Tawau: Polis sedang mengesan juragan bot yang karam di perairan Tinagat, Tawau, Selasa lalu, bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Juragan dikenali sebagai Juma, 24, bersama penumpang bot, Mansur Umar, 25, diselamatkan pemancing yang terdengar suara mereka berdua meminta tolong di tengah laut.

Mansur sudah tampil untuk memberi keterangan kepada polis, 12.30 tengah malam tadi, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan memaklumkan dia dan juragan bot berkenaan selamat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata berdasarkan keterangan Mansur, kedua-duanya dibawa bermalam di rumah seorang pemancing terbabit di Batu 4, dekat sini.

Katanya, mereka kemudian dihantar ke dua lokasi berbeza di daerah ini keesokan harinya.

Katanya, maklumat itu diperoleh berdasarkan soal siasat terhadap Mansur, warga tempatan dari Batu 8 Jalan Apas, dekat sini, awal pagi hari ini.

Menurutnya, Mansur memberitahu dia yang ingin melawat mentua dan isteri di Sungai Nyamuk menaiki bot laju berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran dipandu lelaki bernama Juma dari muara sungai di Ice Box, dekat sini, bersama beberapa penumpang lain.

"Kira-kira 15 minit bot bergerak, air tiba-tiba memasuki belakang bot menyebabkan juragan mengarahkan penumpang untuk menimba air keluar dari bot.

“Bagaimanapun, air terlalu banyak menyebabkan bot semakin tenggelam dan semua penumpang terjun ke laut.

"Mangsa kemudian berenang bersama juragan kira-kira lima jam sebelum diselamatkan pemancing terbabit dan dibawa pulang ke Batu 4 untuk bermalam.

“Bagaimanapun, mangsa dan juragan terpisah pada keesokan hari selepas dihantar ke lokasi berbeza," katanya di sini, hari ini.

Fadil berkata, pihaknya sedang mengesan lelaki bernama Juma yang dipercayai mengendalikan bot ketika kejadian itu serta beberapa saksi lain untuk membantu siasatan.

"Siasatan juga mendapati, Mansur mengatakan dia membayar RM20 kepada lelaki dikenali sebagai Achok yang menguruskan perjalanan semua penumpang untuk menaiki bot laju ke Sungai Nyamuk dari muara sungai di Kampung Ice Box.

"Mayat Achok antara mangsa yang ditemui di perairan Indonesia, semalam," katanya.

Selasa lalu, bot yang dinaiki 15 individu termasuk juragan yang dalam perjalanan dari Kampung Batu Payung menuju ke Sungai Nyamuk Indonesia, dilaporkan karam akibat dipukul ombak.

Akibat kejadian itu, tujuh termasuk seorang yang ditemui 5.48 petang semalam di perairan Kampung Titingan dikenali sebagai Azlan Moja, 30, antara mangsa yang disahkan meninggal dunia manakala empat masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 2:47 PM