Peta kawasan carian. - Foto Ihsan APMM
Peta kawasan carian. - Foto Ihsan APMM
Romli menunjukkan kawasan pencarian 13 mangsa bot karam di Tawau. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING
Romli menunjukkan kawasan pencarian 13 mangsa bot karam di Tawau. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING
Junaidi Ladjana


Tawau: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 13 mangsa bot karam yang dipercayai semuanya warga Indonesia di perairan Tinangat, Tawau, diperluas membabitkan keluasan 68 batu nautika persegi bermula jam 6.30 pagi, hari ini.

Timbalan Pengarah (operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tawau Komander Romli Mustafa berkata, operasi membabitkan tujuh kapal dan bot iaitu tiga milik APMM dan tiga milik Pasukan Polis Marin (PPM) serta satu bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau.

"Malam tadi operasi SAR membabitkan keluasan 56 batu nautika persegi dan pagi ini, keluasan SAR ditambah kepada 68 batu nautika persegi.

"Kita juga sudah menghubungi Konsulat Indonesia di sini, bagi meminta bantuan aset mereka untuk SAR. Namun sehingga kini belum ada apa-apa penemuan baru," katanya dalam sidang media di di pejabat APMM di sini, pagi ini.

Menurutnya, penumpang yang menaiki bot berkenaan dari Kampung Tinangat di sini, dipercayai tidak menggunakan jaket keselamatan.

"Jarak yang dekat antara Kampung Tinangat dengan Sungai Nyamuk Indonesia yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit menyebabkan mereka memandang ringan aspek keselamatan,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, bot membawa 15 penumpang terbalik akibat dipukul ombak.

Dua mangsa ditemui selamat di pesisir pantai Kampung Batu Payung, petang semalam, manakala 13 mangsa masih belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 10:39 AM