Mazizul Dani

Kuala Lumpur: Seramai 300 penjaja di Lorong Tuanku Abdul Rahman berdepan risiko 'gulung tikar' apabila mereka diarahkan berpindah setelah beberapa dekad berniaga di kawasan itu.

Arahan pemindahan sementara itu dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 24 Januari lalu untuk memberi laluan kepada projek River Of Life (ROL) selama tujuh bulan.

Penjaja kasut, Abdul Rahman Sulaiman, 53, yang sudah berniaga 25 tahun di situ berkata, tiga kawasan yang dicadangkan DBKL dilihat kurang sesuai.

"Ketiga-tiga lokasi iaitu Lorong Gombak, Jalan Sultan Sulaiman dan Jalan Medan Tuanku tidak strategik kerana ia bukan laluan pembeli.

"Ia pastinya akan menjejaskan pendapatan penjaja kerana pelancong sedia maklum mengenai lokasi sekarang yang dibuka setiap Sabtu dari 10 pagi hingga 12 tengah malam," katanya.

Abdul Rahman ditemui bersama 75 penjaja selepas bermesyuarat dengan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zaharudin Basiron selama dua jam hari ini.

Dalam mesyuarat itu, penjaja menerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman menuntut supaya operasi perniagaan mereka dipindahkan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan bukannya di satu daripada tiga lokasi dicadangkan itu.

Penjaja rojak sejak 30 tahun lalu, Abdul Aziz Yahya, 63, pula berkata, pemindahan ke lokasi yang kurang sesuai itu amat dikesali walaupun ia bersifat sementara.

"Kita dah biasa dan selesa berniaga dalam keadaan sekarang. Jadi bila perlu berpindah saya rasa terkejut dan akan beri kesan kepada perniagaan kami kerana pelanggan tetap nanti tidak jumpa saya di situ," katanya.

Bagi Pasarudin Bidi, 55, penjaja makanan selama 18 tahun di lorong itu, mereka tidak menolak pembangunan tetapi keputusan menang-menang perlu dicapai.

"Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak jauh dari Lorong Tuanku Abdul Rahman jadi kami pasti akan dapat semula pelanggan-pelanggan kami.

"Sekiranya diberi peluang, kami akan pastikan kebersihan terjaga, penyusunan petak dibuat dengan baik dan gerai seragam kerana kami ada persatuan yang mampu menguruskan perkara itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi persatuan berkenaan, Mahdzir Jaafar berkata, hasil mesyuarat, DBKL bersetuju untuk mempertimbangkan tuntutan peniaga dan akan memaklumkan keputusannya dalam masa terdekat.

Lokasi perniagaan itu dibuka sejak 1985 bermula di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum berpindah ke Lorong Tuanku Abdul Rahman pada 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 4:30 PM
Sebahagian penjaja selepas bermesyuarat dengan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zaharudin Basiron hari ini. FOTO Saiful Iskandar
Sebahagian penjaja selepas bermesyuarat dengan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zaharudin Basiron hari ini. FOTO Saiful Iskandar