Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam (gambar) menegaskan keputusan untuk meminda tarikh perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Sabtu ini memberi impak besar kepada bola sepak tanah air pada masa depan.

Jelasnya, ruang seharusnya diberikan kepada Johor DT untuk bertanding pada aksi playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab Jepun Gamba Osaka pada 7 Februari ini untuk layak ke peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah.

“Keputusan Johor DT layak bertanding di pusingan playoff baru diketahui malam tadi (kelmarin) dan jika mereka mahu membuat permohonan 15 hari sebelum perlawanan dengan Kelantan memang tidak sempat.

“Ini bukan isu Johor DT yang mendapat kelebihan cuma ia kebetulan membabitkan Johor DT. Kita kena lihat perkara ini secara keseluruhan, jika Johor DT berjaya melepasi perlawanan playoff, kita akan memiliki tiga pasukan bersaing di pentas antarabangsa apabila Kedah akan mengambil tempat Johor DT dalam kempen Piala AFC bersama FELDA United.

“Di sini peluang untuk Johor DT mengumpul mata ranking cerah apabila bermain di ACL dan ini akan membuka laluan kita mendapatkan slot automatik ACL pada masa akan datang, jadi perlawanan Johor DT dengan Gamba Osaka ini dianggap sebagai agenda nasional.

“Jadi kita berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang mempamerkan semangat kesukanan tinggi apabila bersetuju untuk meminda perlawanan dengan Johor DT pada 4 Februari ini,” kata Kevin kepada Arena Metro semalam.

Keputusan FMLLP itu pasti melegakan Johor DT dalam membuat persiapan menghadapi Gamba Osaka di gelanggang lawan selepas mereka mengatasi Bangkok United menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 apabila aksi sebenar perlawanan kelayakan kedua ACL kelmarin terikat 1-1.

Jika perlawanan dengan Kelantan tidak dipinda, Harimau Selatan hanya mempunyai tempoh dua hari persiapan sebelum perlawanan dengan Gamba Osaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:44 AM