AKSI Johor DT (baju merah) ketika menentang Gamba Osaka.
AKSI Johor DT (baju merah) ketika menentang Gamba Osaka.
Serbegeth Singh

Permulaan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bermula pertengahan minggu lalu dengan bola sepak Australia menerima dua kejutan atau tamparan hebat.

Pasukan juara ACL 2014 Western Sydney Wanderers yang menjadi naib juara Liga-A 2016 begitu mudah diketepikan Urawa Red Diamonds.

Kekalahan 0-4 menjadi lebih sukar difahami apabila kekalahan ini berlaku di gelanggang sendiri. Pasukan tuanrumah langsung tidak menunjukkan keistimewaan beraksi di Sydney. Pada separuh masa kedua, jelas kelihatan pasukan dari Jepun itu lebih segar serta pantas berbanding pemain Western Sydney. Aspek fizikal yang menjadi paling ketara perbezaan di antara kedua-dua pasukan ini.

Apatah lagi apabila pasukan juara Liga-A 2016 Adelaide United pula kecundang di tangan satu lagi pasukan dari Jepun. Pasukan Gamba Osaka yang menepis cabaran Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam perlawanan kelayakan ACL, beraksi pantas serta agresif di Stadium Coopers. Persembahan pasukan Gamba Osaka berada tiga tahap lebih tinggi daripada aksi menentang Johor DT sehingga Adelaide United bagaikan dilanda taufan.

Brisbane Roar, pasukan ketiga mewakili Australia, hanya seri ketika menentang Muangthong United dari Thailand. Keputusan seri tanpa jaringan ini menonjolkan persoalan betapa minat pasukan kelab dari Australia terhadap ACL.

Satu mata dari tiga perlawanan ACL di halaman sendiri adalah satu masalah besar bagi kelab Australia ini.

Kejohanan Liga-A sudah berjalan sehingga ke aksi ke-20 manakala Liga-J hanya akan bermula pada hujung minggu ini. Di sini timbul persoalan aspek fizikal serta kehendak pasukan pasukan dari dua liga itu.

Kita tidak boleh terima alasan Western Sydney Wanderers dan Adelaide United keletihan kerana sudah beraksi begitu lama. Western Sydney Wanderers menjuarai ACL pada 2014 tanpa terjejas kerana liga domestik. Sukar juga untuk memahami bagaimana juara Liga-A 2016 Adelaide United kini menduduki tempat tercorot di Australia.

Brisbane Roar pula melakukan kejutan apabila menundukkan Shanghai Shenhua dalam perlawanan kelayakan pusingan terakhir ACL di Shanghai tetapi gagal mengalahkan pasukan juara Thailand Muangthong United di laman sendiri.

Ini hanya membawa kesimpulan bahawa kelab dari Australia ini tidak mementingkan kejohanan terunggul Asia. Kelihatan juga ketiga-tiga kelab berkenaan - Western Sydney Wanderers, Adelaide United serta Brisbane Roar - hanya menyumbangkan seorang saja pemain kebangsaan Australia.

Penyerang utama kelab Brisbane Roar, Jamie Maclaren saja yang menyarung jersi kebangsaan apabila Australia seri 2-2 dengan Thailand dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018. Perlawanan ini yang berlangsung pada November tahun lalu di Bangkok adalah kali terakhir pasukan kebangsaan Australia beraksi.

Apabila tiga pasukan teratas Liga-A musim lalu hanya membarisi seorang pemain kebangsaan maka jelas bola sepak Australia mempunyai masalah tertentu. Kalau dilihat senarai 23 pemain dalam skuad Australia, didapati hanya ada pemain pasukan seperti Hangzhou Greentown, Burton Albion serta Bristol City, maka jelas situasi bola sepak negara itu agak kabur.

Walaupun hanya perlawanan pembukaan ACL 2017, tetapi ketiga-tiga pasukan yang mewakili Australia harus bangkit demi maruah bola sepak Down Under.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 5:10 AM