ROMBONGAN PPNP bergambar di pekarangan kilang PPNJ, Kahang, Johor.
ROMBONGAN PPNP bergambar di pekarangan kilang PPNJ, Kahang, Johor.
ROMBONGAN melihat  sawit.
ROMBONGAN melihat sawit.
Rosman Shamsudin

Pembinaan kilang sawit milik Pertubuhan Peladang Negeri Perak (PPNP) di Kampung Tengah, Beruas, mampu memberi manafaat kepada 30 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membabitkan 10,000 ahlinya.

Projek bernilai RM40 juta itu bakal memulakan operasi pada Oktober depan.

Pengerusi PPNP Datuk Nadzri Ismail berkata, kilang sawit yang menggunakan teknologi terkini mampu memproses 600 tan sawit mentah kira-kira 18-20 jam sehari.

Beliau berkata, proses itu bermula dari sawit mentah hingga menghasilkan minyak apabila siap kelak.

“Sebelum ini, semua hasil sawit dihantar ke kilang swasta untuk diproses. Menerusi pembinaan kilang sawit yang menjadi lambang kekuatan PPNP terbaru ini, ia membabitkan lapan hektar tanah milik PPN.

“PPNP mempunyai ladang sawit sendiri seluas 80 hektar. Tanah milik PPK yang dijadikan ladang sawit diuruskan PPNP sendiri seluas 240 hektar mampu menampung kira-kira 60 peratus keperluan operasi.

“Pada masa sama PPNP memerlukan 40 peratus lagi sawit mentah dari agensi kerajaan, pekebun kecil dan pengusaha ladang persendirian seluruh negeri bagi mengoptimumkan operasi kilang itu,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar PPNP Dzulkifli Johan, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Mohd Fauzi Badron dan Pengerusi Peladang Muda Perak Datuk Kassim Yaacob.

Pada majlis itu, lebih 30 Pengerusi PPK dan Ahli Jemaah Pengarah PPNP mengadakan lawatan ke kilang sawit Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) selama tiga hari.

Nadzri berkata, lawatan itu bertujuan mempelajari cari operasi dan pengendalian kilang yang dijalankan PPNJ sebagai pendedahan awal.

“Ia bagi memastikan kilang sawit milik PPNP nanti dapat berjalan dengan lancar dan menghasilkan daya pengeluaran yang bermutu tinggi.

“Melalui lawatan ini juga mereka akan mempelajari cara, kaedah dan pendekatan digunakan PPNJ menarik ramai pengusaha ladang sawit sama ada agensi kerajaan atau swasta menghantar sawit mentah ke kilang itu.

“Kita mahu kilang yang dibuka PPNK nanti mempunyai sawit mentah mencukupi untuk beroperasi dan tiada gunanya jika kilang dibina, tapi sawit mentah tidak mencapai sasaran untuk diproses,” katanya.

Menurutnya, untuk menampung keperluan masa depan, PPK perlu memainkan peranan dengan menambah bilangan keahlian dan PPNP menyasarkan 150,000 ahli pertubuhan menjelang tahun 2020.

“Pembinaan kilang PPNP memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan kami bakal menggunakan tenaga kerja tempatan serta luar bagi memastikan operasi kilang itu berjalan lancar sekali gus mampu menjana pendapatan kepada PPNP,” katanya.

Sementara itu, Dzulkili berkata, pembinaan kilang ini melengkapkan rangkaian nilai proses sawit yang bermula dari pembenihan, penanaman dan dihantar ke kilang untuk diproses untuk menghasilkan minyak mentah sawit.

Katanya, pembinaan kilang ini juga dapat menjamin kestabilan harga sawit dan berharap pihak kerajaan terus meneroka pasaran baru bagi memastikan harga sawit sentiasa terkawal.

“Ini kerana kejatuhan dan kenaikan harga sawit memberi impak yang besar terutama pekebun kecil.

“Kami menggalakkan lebih ramai pekebun kecil dan pengusaha persendirian menjual sawit mentah di PPK kawasan seluruh negeri untuk memberi sokongan kepada kilang milik PPNP itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 11:38 AM