GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Jerteh: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperuntukkan RM4.79 juta untuk disalurkan kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan ( PPK) seluruh negara bagi memanfaat 32,120 ahli di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, RM3.2 juta diperuntukkan untuk pemberian zakat kepada ahli di seluruh negara.

"Setiap PPN akan menerima peruntukan RM70,000 manakala PPK pula akan menerima RM8,000.

Bagi Terengganu pula, PPN dan kesemua 33 PPK di negeri ini pula akan menerima sebanyak RM225,000 iaitu RM160,000 daripada jumlah tersebut untuk pemberian zakat kepada 1,600 ahli dan selebihnya untuk tujuan pengurusan," katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Pergerakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Covid-19 di PPK Gerai, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Abdul Rahman Bakri dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Terengganu, Datuk Rosli Harun.

Pada majlis itu, 378 ahli PPK Gerai membabitkan peladang dari kawasan Jertih dan Hulu Besut yang pernah dijangkiti COVID-19 dan terkesan akibat pandemik itu menerima sumbangan barangan keperluan asas.

Dalam perkembangan lain, Zamri berkata Nafas sedang membuat kajian status pemilikan aset ladang sawit di luar negara seluas kira-kira 12,140 hektar sama ada untuk dijual atau sebaliknya kerana pertubuhan itu merancang untuk lebih memberi fokus kepada penambahan pemilikan ladang di dalam negara.

"Nafas juga akan meningkatkan pendapatan melalui perniagaan termasuk memberi tumpuan kepada sektor peladangan seperti kelapa sawit dan penternakan ayam bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 5:22 PM