AHMAD Shabery melawat tapak pemprosesan makanan ternakan ayam.
AHMAD Shabery melawat tapak pemprosesan makanan ternakan ayam.
MAKANAN ternakan keluaran jenama Peladang NAFAS.
MAKANAN ternakan keluaran jenama Peladang NAFAS.
KILANG NAFAS Feedmills mula beroperasi sejak 2016 bagi memproses bahan makanan ternakan ayam.
KILANG NAFAS Feedmills mula beroperasi sejak 2016 bagi memproses bahan makanan ternakan ayam.
Mohamad Hussin


Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) komited dalam proses penanaman dan pengeluaran jagung bijian dalam pembangunan industri makanan ternakan di negara ini.

Tanaman berkenaan antara yang berpotensi untuk dikembangkan dan dijangka dapat mengurangkan kebergantungan bekalan import jagung bijian dari luar negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, NAFAS mengambil inisiatif dalam memfokuskan kepada pengukuhan rantaian nilai Pertubuhan Peladang (PP).

“Perancangan pembangunan NAFAS ini seiring selain merealisasikan saranan kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan jagung bijian.

“Rantaian ini secara tidak langsung dapat membantu kementerian dalam memastikan harga daging ayam yang relatif lebih rendah dan stabil di samping mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Kerja ke NAFAS Feedmills Sdn Bhd di Mukim Sri Menanti, Parit Jawa, Muar, Johor, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, Pengerusi NAFAS Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mohd Salim Taha.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) di antara NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan Welmetra Sdn Bhd.

Sementara itu, Saipolbahari berkata, rantaian nilai berkenaan membabitkan tiga peringkat utama iaitu NAFAS, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Ahli peladang individu melalui peranan yang berbeza dan peringkat ini dijelaskan melalui peranan masing-masing iaitu PPK/ahli peladang individu sebagai peserta dan penanam jagung bijian.

“PPN pula akan menjalankan proses pengeringan jagung bijian dan akhir sekali NAFAS sebagai pengeluar dan pemasar makanan ternakan ayam.

“Ia melalui penubuhan kilang makanan ternakan yang akan memberikan jaminan pembelian hasil jagung bijian yang dikeluarkan peserta mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, merujuk kepada konsep yang digunakan penanaman jagung bijian ini akan dilaksanakan secara berperingkat, apabila pada peringkat pertama penanaman dijalankan PPK Bakri di Mukim Labis, Muar, Johor.

“Ia membabitkan keluasan lapan hektar yang bakal menghasilkan sekitar 48 tan metrik jagung bijian.

“Peringkat seterusnya adalah proses pengeringan yang akan dijalankan PPN Johor sementara pihak NAFAS pula memproses jagung bijian (bahan mentah) sebagai makanan ternakan ayam.

“Kemudian NAFAS akan memasarkannya melalui pasaran dalam mahupun pasaran luaran,” katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan perancangan pembangunan masa depan bagi mengukuhkan rantaian nilai PP ini, beberapa lokasi penananaman jagung bijian dikenal pasti.

“Ia bagi memenuhi keperluan kapasiti pengeluaran kilang makanan ternakan ayam yang dibangunkan pihak NAFAS.

‘Ini jelas menunjukkan impak pelaksanaan ini dapat membantu dalam melengkapkan dan memperkasakan rantaian nilai sedia ada PP dan sekali gus dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi ahli peladang pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 12:33 PM