Azizan Hashim

Ipoh: Perak semakin hampir menyelesaikan urusan pengambilan awang import keempat dan pemain yang menjadi pilihan ialah Faton Toski (gambar).

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pihaknya hanya menunggu sijil perpindahan pemain itu dan perbincangan dengan bekas kelab pemain itu sedang dibuat.

“Pada dasarnya, Toski sudah menjadi milik Perak.

“Hanya sedikit saja lagi. Ini soal dokumentasi saja,” katanya.

Toski, 29, dicadangkan kepada Perak oleh ketua jurulatih Karl Heinz Weigang.

Pemain tengah pasukan kebangsaan Kosovo itu tiba di Ipoh, Ahad lalu.

Bekas pemain Eintrecht Frankfurt itu akan berpadu tenaga dengan Thiago Junio Aquino, Yashir Pinto Aslame dan Vladislav Mirchev.

Thiago dari Brazil sudah empat musim bersama Perak manakala Pinto adalah bekas pemain Melaka United.

Mirchev yang berasal dari Bulgaria pula bakal membuat penampilan pertamanya di negara ini.

PAFA yang meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini, menunjukkan kesungguhan untuk mencapai impian itu dengan menghimpun pemain ternama seperti Mohd Zaquan Adha, Sharom Kalam, Hafiz Kamal, Nazrin Nawi, Jasazrin Jamaluddin, Idris Ahmad serta Abdul Hadi Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:11 AM