PEMAIN Perak ketika saingan Liga Super di Stadium Perak pada Februari lalu. FOTO Effendy Rashid
PEMAIN Perak ketika saingan Liga Super di Stadium Perak pada Februari lalu. FOTO Effendy Rashid
Azizan Hashim


PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) terpaksa mencari pengurus pasukan dan setiausaha baru kerana penjawat jawatan itu, Datuk Jamal Md Aris mengosongkan jawatannya.

Menurut sumber PAFA, Jamal kini sudah berpindah ke Kuala Lumpur kerana mendapat jawatan baru.

"PAFA kena cari pengurus dan setiausaha baru bagi mengisi kekosongan itu.

"Ada dua nama disebut-sebut iaitu Datuk Rashidi (Ibrahim) dan Datuk (G) Irudianathan,"

"Entahlah siapa yang akan terpilih nanti," kata sumber itu.

Jamal sebelum ini adalah bekas timbalan ketua eksekutif (operasi perniagaan) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dilantik sebagai pengurus menggantikan Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika Perak dikendalikan oleh Karl Heinz Weigang.

Begitupun perkembangan terbaru menyaksikan Jamal meninggalkan PKNP dan kini dikatakan menetap di Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata, selain pengganti Jamal, PAFA juga akan mencari sekurang-kurangnya seorang awang import baru serta mengisi empat kekosongan pemain tempatan.

Sumber itu berkata Raffi Nagorgani dan Hafiz Ramdan atau Kancil dipinjamkan kepada PKNP manakala Norhakim Isa digugurkan.

"Seorang daripada pemain import iaitu Faton Toski atau Vadislav Mirchev akan digantikan sempena jendela perpindahan kedua ini," katanya lagi.

Tindakan Perak itu dilakukan berikutan pencapaian hambar pasukan terutama kekalahan 3-0 di tangan T-Team dalam perlawanan sulung pusingan kedua baru-baru ini menyebabkan kritikan dan gesaan supaya tindakan segera diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:08 PM