Kerja baik pulih dijalankan di kawasan perumahan terbabit. FOTO ihsan APM
Kerja baik pulih dijalankan di kawasan perumahan terbabit. FOTO ihsan APM
Muhamad Izzat Nasuruden


Ipoh: Sebanyak 29 rumah di Taman Meru 2C, di sini, mengalami kerosakan bumbung akibat angin lintang petang tadi.

Kejadian yang berlaku antara 10 hingga 15 minit bermula jam 5.15 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta Muhammed Ameen Sallihmura berkata, pihaknya bersama beberapa agensi kerajaan lain bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat.

"Kita bersyukur kerana kejadian hanya membabitkan bumbung rumah saja dan tidak membabitkan struktur lain atau kecederaan penduduk.

"Kami dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tambun dan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi mengadakan gotong-royong membantu membaik pulih dan memasang semula atap,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin turut meninjau tempat kejadian manakala beberapa agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Kinta menyalurkan bantuan bagi membaik pulih bumbung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:29 PM