Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kerja pembersihan di kawasan pantai sekitar Teluk Kabong dan Tanjung Gemok Pasir Gudang akibat tumpahan minyak berikutan pelanggaran dua kapal kontena di Selat Johor pada 3 Januari lalu, sudah selesai dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, usaha itu melalui pelan diaktifkan empat agensi membabitkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Agensi Pertahanan Malaysia (APM) Johor, Jabatan Alam Sekitar Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Johor Port.

Malah katanya, usaha itu memberi kesan positif apabila tumpahan minyak di laut terkawal

“Saya sudah arahkan Jabatan Alam Sekitar Johor mengeluarkan Notis Arahan mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada 6 Januari lalu dan mengkehendaki pemilik Kapal APL Denver mengambil tindakan segera.

"Antara tindakan ialah meminta mereka mengemukakan laporan kerja pembersihan yang sudah dijalankan dan tindakan-tindakan diambil ke JAS pada setiap jam operasi pembersihan tumpahan minyak dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga mengarahkan Johor Port Berhad melaksanakan beberapa perkara penting, antaranya mempercepatkan proses pemindahan sebahagian kargo dari kapal bagi mengurangkan risiko pencemaran daripada struktur tangki yang terjejas akibat pelanggaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 7:06 PM