Tumpuhan minyak selepas kapal dagang Chemroad Mega berlanggar dengan  kapal Sinica Graeca di Tenggara Tompok Utara, Pengerang, Kota Tinggi.  FOTO IHSAN JABATAN LAUT
Tumpuhan minyak selepas kapal dagang Chemroad Mega berlanggar dengan kapal Sinica Graeca di Tenggara Tompok Utara, Pengerang, Kota Tinggi. FOTO IHSAN JABATAN LAUT
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA kapal dagang berlanggar di 3.2 batu nautika Timur Laut Tompok Utara dekat Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi, Johor, semalam menyebabkan tumpahan minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, dua kapal itu, Chemroad Mega dan Sinica Graeca dikesan terbabit dalam pelanggaran itu kira-kira 10.30 malam.

"KD Pendekar menerima maklumat melalui Channel 16 bahawa dua kapal itu berlanggar di lokasi berkenaan dan kini kedua-duanya bersauh di posisi kira-kira tujuh batu nautika Tenggara Tompok Utara.

"Dalam pelanggaran ini, kita dimaklumkan tiada kemalangan jiwa berlaku, namun tahap kerosakan belum dapat diketahui.

"Ejen kedua-dua kapal sudah dipanggil untuk ke lokasi bersauh bagi memeriksa kerosakan kapal masing-masing," katanya.

Chemroad Mega adalah kapal tangki minyak atau kimia yang didaftarkan di Panama dan dibina pada 2000, manakala Sinica Graeca yang juga kapal mengangkut barangan pukal itu dibina pada 2015 dan didaftarkan di Marshall Islands.

Ayub berkata, KD Pendekar kini berada di Barat IDM Singapura kira-kira 1.7 batu nautika Barat Daya Tompok Utara dan diarah ke posisi pelanggaran untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengarahkan pemilik kapal untuk meletakkan bon jaminan RM5 juta bagi kedua-dua kapal itu.

"Kapal-kapal ini ditahan sehingga bon diserahkan dan tindakan segera akan diambil untuk kerja pembersihan tumpahan minyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 7:29 PM