PEKERJA syarikat  pembersihan memulakan kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, semalam. FOTO Khairul Ghazali
PEKERJA syarikat pembersihan memulakan kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim, semalam. FOTO Khairul Ghazali
Mary Victoria Dass


SERAMAI 780 mangsa gas kimia dirujuk ke pusat rawatan awal, manakala seramai 220 mendapatkan rawatan susulan di dua hospital di Johor, dalam tempoh 24 jam sehingga awal pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, hanya 113 dimasukkan ke wad bagi menjalani rawatan.

Beliau berkata, seramai 531 mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, dua mangsa pencemaran gas kimia yang berada dalam keadaan kritikal sebelum ini iaitu seorang pelajar perempuan tingkatan dua dan seorang pemandu ambulans kini dalam keadaan stabil.

“Orang ramai yang ditempatkan di Medic Base di Dewan Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar dipindahkan ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) pada jam 6 petang semalam bagi memudahkan urusan rawatan.

“Tambahan pula, Dewan Taman Pasir Putih berada dalam zon merah.

“Sehingga 14 Mac 2019, seramai 982 mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan klinik-klinik sekitar Pasir Gudang,” katanya.

Sahruddin berkata, kerja-kerja pembersihan seliaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijalankan selama 24 jam.

Beliau berkata, sehingga semalam, tiada laporan terdapat pencemaran air tercemar sehingga Sungai Tiram dan tiada juga laporan mengatakan bahawa ia merebak ke Johor Port.

Katanya, ketika kerja pembersihan dilakukan di Sungai Kim Kim, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pembersihan.

“Petugas juga disarankan untuk mengutamakan keselamatan dengan menggunakan alat pelindung diri.

“Malah kami menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya kebanyakan berita palsu yang ditular di media sosial.

“Bagi mendapatkan maklumat tepat, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 07-2522143 atau 07-2532143,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 10:38 AM