MASIH ingat peristiwa tsunami iaitu gelombang raksasa yang menghancurkan Banda Aceh pada 26 Disember 2004?

Ratusan ribu nyawa terkorban selain bangunan hancur lebur manakala ribuan lagi hilang.

Gempa dengan kekuatan 9.1 hingga 9.3 skala Richter itu menggoncang dasar laut di barat daya Sumatera. Dalam beberapa jam sahaja, gelombang tsunami sampai sehingga ke daratan Afrika.

Pesara guru, Mustaffa Siraj, 58, berkesempatan ke bumi Aceh bersama rakan-rakannya dua tahun lalu dan melihat sendiri pelbagai perubahan berlaku selepas 15 tahun tragedi itu berlaku.

“Tragedi mengorbankan lebih 220,000 mangsa itu merentasi 14 negara. Ia gempa ketiga paling dahsyat di dunia. Bayangkan, ombak tsunami itu bergerak 8,000 kilometer sehingga sampai ke pantai Afrika Selatan,” katanya ketika menceritakan kejadian itu kepada wartawan Harian Metro, Mohd Fadly Samsudin.

“Sebaik pesawat kami mendarat di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, destinasi pertama kami adalah Masjid Raya Baiturrahman.

Seperti yang kita semua ketahui, satu keajaiban berlaku ke atas masjid itu ketika tragedi apabila ia kekal utuh walaupun kawasan sekitarnya musnah dan ditenggelami air.

Malah, ribuan penduduk Aceh berlindung di situ dan menyaksikan sendiri gelombang hitam pekat ‘menyapu’ apa sahaja.

Ia membuktikan kekuasaan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Semua itu terjadi atas kehendak-Nya dan tiada siapa yang mampu menandingi kekuasaanNya.

Masjid Raya Baiturrahman dibina pada 1881 oleh penjajah Belanda. Masjid besar terletak di Banda Aceh itu menjadi pusat ibadat, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.

Kini, ia dibina payung-payung besar menyerupai payung di Masjid Nabawi, Madinah.

Pengembaraan syahadah kami diteruskan ke Muzium Tsunami. Bangunan empat tingkat itu mempunyai beberapa bahagian.

Kami melalui terowong tsunami yang ada percikan air dan rakaman bunyi suara tangisan. Kami turut dibawa ke kolong khas mengandungi senarai nama sebahagian mangsa tsunami tertulis di dinding.

Selain itu, kami disajikan tayangan video mengenai tragedi tsunami berdurasi 15 minit.

Turut dipersembahkan, pameran tinggalan tsunami seperti batu batan, foto, hiasan dinding dan replika kejadian.

Perjalanan seterusnya, kami dibawa ke Masjid Baiturrahim terletak di kawasan Ulee Lhueu.

Lokasi masjid itu hanya 100 meter dari pantai dan ketika tragedi Tsunami, gelombang membadai sehingga ke kubah masjid, namun struktur asalnya masih tidak rosak teruk. Di situ kami mendengar syarahan yang disampaikan Pak Busriade. Kami juga berkunjung ke Masjid Rahmatullah berhampiran pantai di Desa Lampuuk, Aceh Besar yang turut dimasuki air hingga berhampiran kubah masjid.

Begitu juga berlaku di Desa Gurah apabila kubah masjid seberat 80 tan dihanyutkan ombak tsunami lebih dua kilometer.

Ketika kejadian, seramai tujuh orang terselamat selepas mereka berpaut pada kubah yang dihanyutkan air itu.

Pada hari berikutnya, kami ke Desa Punge untuk melihat kapal besi PLTD Apung yang dihanyutkan ke darat.

Ketika tsunami berlaku, kapal seberat 2,600 tan itu berada di pesisiran pantai Banda Aceh.

Bayangkan, ombak tsunami berjaya menghanyutkan kapal itu sejauh lima kilometer.

Kami juga melawat bot besar yang terdampar di atas bangunan dua tingkat di Desa Lampulo.

Bot itu pada asalnya berada di kuala Sungai Lampulo, tetapi ombak tinggi menghanyutkannya sehingga terdampar di atas bangunan dua tingkat.

Satu detik sayu apabila kami singgah ke Kecamatan Ingin Jaya. Di sana pengunjung boleh melihat perkuburan terbesar mangsa tsunami.

Kami dimaklumkan, di kubur besar itu bersemadinya 46,718 mangsa korban tsunami.

Seorang pemimpin masyarakat di sana menceritakan, pada malam 25 Disember itu, sebahagian warga Aceh berpesta di pantai, minum arak dan melakukan maksiat.

Atas kuasa Allah SWT, beberapa jam kemudian tragedi pun berlaku. Maka, di situ ada pengajaran dan peringatan daripada Allah SWT supaya jangan melakukan kemungkaran dan kerosakan di atas muka bumi.

Lawatan kami itu benar-benar membawa keinsafan tentang tragedi dahsyat yang terjadi dengan izin Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 8:59 AM