REPLIKA Muzium Tsunami Aceh.
REPLIKA Muzium Tsunami Aceh.
KAKITANGAN muzium menceritakan kejadian tsunami menerusi bahan pameran disediakan.
KAKITANGAN muzium menceritakan kejadian tsunami menerusi bahan pameran disediakan.
JASA Malaysia melaksanakan misi kemanusiaan di Aceh dibalas dengan pemasangan Jalur Gemilang di Muzium Aceh.
JASA Malaysia melaksanakan misi kemanusiaan di Aceh dibalas dengan pemasangan Jalur Gemilang di Muzium Aceh.
MOHD Siddiq menitiskan air mata mengimbau kisah tsunami mengorbankan ahli keluarganya lebih sedekad lalu.
MOHD Siddiq menitiskan air mata mengimbau kisah tsunami mengorbankan ahli keluarganya lebih sedekad lalu.
TEMBOK Kuburan Massal tertera ayat al-Quran.
TEMBOK Kuburan Massal tertera ayat al-Quran.
Mohd Sabran Md Sani


Ibarat berada di sebuah mesin merentas masa. Begitulah keadaannya apabila penulis bersama kumpulan wartawan dan jurugambar diberi peluang berada di Lorong Tsunami, Muzium Tsunami di Banda Aceh.

Alunan zikir membawa penulis 13 tahun ke belakang dan situasinya tatkala bumi Aceh mula menerima ledakan gempa bumi sebelum disusuli gelombang tsunami yang datang bersama hamburan lumpur.

Suasananya agak redup, sesekali percikan air membasahi muka dengan ketinggian ombak tinggi berada di kiri dan kanan.

Ia membawa penulis kembali jam 8 pagi pada 26 Disember 2004, ketika Banda Aceh diselimuti banjir lumpur tak terjangka.

Tidak panjang, namun laluan itu menyedarkan penulis betapa hebatnya kuasa Maha Pencipta yang berkehendakkan sesuatu perkara terjadi.

Tiga hari bertamu di bumi Aceh banyak menginsafkan penulis betapa agungnya kuasa Allah dalam menguji hambanya.

Hilangnya ribuan nyawa ditatapi menerusi Kuburan Massal di Jalan Bandara International Iskandar Muda, Aceh Besar ini yang kini hanya tinggalan monumen memperingati kejadian tsunami menempatkan jasad 46,718 mangsa korban pada 26 Disember 2004.

Sekali pandang bentuk batuan berombak didirikan berdekatan Kuburan Massal seperti monumen sejarah, namun di sebalik kalimah ayat suci al-Quran ‘kun faya kun’ atau dalam terjemahannya ‘jadi, maka jadilah’ itu membayangkan keagu­ngan Yang Maha Esa.

Kejadian gempa yang berlaku lebih sedekad itu tidak pernah merubah akidah keislaman mereka bahkan ia terus memperkuatkan jati diri penduduk Aceh untuk bersabar dan mensyukuri atas segala nikmat diperoleh sekali gus meneruskan kehidupan seperti biasa.

Fenomena perubahan Aceh dapat penulis saksikan tatkala berpeluang me­ngikuti lawatan dalam misi Tabung Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi Aceh Johor Corporatin JCorp-KMJ Prihatin Aceh selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Januari lalu bagi meneruskan hubungan silaturahim antara dua negara.

Biarpun Aceh dan penduduknya mungkin dianggap menghadapi masalah jiwa hingga ramai pakar psikologi Barat dibawa masuk, namun ternyata kekuatan akidah memberi kelebihan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

Mana tidaknya, bencana alam itu mengorbankan 250,000 nyawa penduduk dalam sekelip mata, selain ada yang tanpa pusara kerana gagal dijejaki akibat dihanyutkan air lumpur laut bersama timbunan kayu.

Bagi mereka, ombak tsunami membawa derita cukup sengsara kerana bukan saja memusnahkan harta benda, tetapi gempa dengan kekuatan 9.3 magnitud turut mengorbankan nyawa.

Peluang tiga hari di bumi Aceh membuka mata kepada penulis menghayati erti sebuah kehidupan, perasaan syukur dan semangat membantu.

Dana RM50,000 dibawa kumpulan wartawan dan kakitangan JCorp hasil sumbangan diterima dalam usaha membantu proses pemulihan wilayah itu yang dilanda gempa bumi, Disember lalu, cukup membantu.

Permulaan dan fokus utama adalah membantu pembinaan semula masjid yang musnah dalam kejadian itu, malah masjid bersejarah berusia lebih 100 tahun mengalami kerosakan lebih 80 peratus akibat gempa itu menerima sentuhan dari dermawan.

Tragedi Aceh tidak pernah mati, bahkan pertemuan penulis bersama mangsa bencana alam itu membuka kembali memori duka.

Bukan mahu menambah kesedihan, namun peristiwa hitam itu membuka mata semua untuk bersiap sedia menerima segala kemungkinan andai itu ketentuannya.

Bergulung dengan air tsunami

Bagi Mohd Siddiq Mohd Dahlan, 18, dan Imam Masjid Rahmatullah Lampu’uk Aceh Besar, Sulaiman Amin, 65, kejadian tsunami itu masih segar dalam ingatan mereka.

Biarpun kedua-duanya tinggal di perkampungan berbeza, namun rentetan peristiwa seakan-akan serupa dengan masing-­masing bertarung nyawa berdepan gelombang tsunami yang menyerang.

Bayangkan dalam usianya yang baru mencecah lima tahun, Mohd Siddiq kehilangan bukan seorang, tetapi lapan anggota keluarganya termasuk ibu dan tujuh adik beradiknya hilang dalam sekelip mata.

Air matanya mengalir deras tatkala diminta mengimbau kembali kisah duka yang berlaku ketika usianya baru mencecah lima tahun.

Katanya, dia yang baru selesai mengerjakan solat Subuh bersama kakaknya tidak menyangka berdepan detik cemas selepas dikejutkan ibunya, Fatmawati berkenaan gegaran gempa bumi terbabit.

“Saya tertidur seketika selepas bangun 5 pagi untuk menunaikan solat Subuh dan terjaga jam 8 pagi dikejutkan ibu dan seorang lagi kakak memberitahu berlaku gempa bumi.

“Pada usia yang masih muda, saya hanya bertanya kepada ibu berkenaan kejadian gempa bumi itu. Pada masa sama diberikan jawapan bencana alam seperti gegaran yang kami sekeluarga alami pada pagi itu,” katanya ketika ditemui di Rumah Anak Yatim Johor Aceh, di sini.

Dia yang menghuni di bangunan itu selepas menjadi yatim piatu 13 tahun lalu berkata, dalam keadaan cemas itu, mereka sembilan beradik diminta ibu naik ke rumah datuk mereka.

“Ketika itu, ibu dan kakak menyiapkan sarapan sementara saya dan seorang lagi kakak berada di halaman rumah manakala abang kelima pula berjalan menuju ke arah jalan.

“Hanya jeritan kuat abang ketika itu menggemparkan kami sekeluarga berkenaan keadaan air tinggi yang dilihat luar biasa sebelum masing-masing menyelamatkan diri ke rumah datuk,” katanya.

Mohd Siddiq berkata, kejadian lima minit itu menyebabkan dirinya bergulung dengan air tsunami selain menyangka keadaan itu umpama kiamat.

“Ketika itu saya tertelan air dan membayangkan apakah keadaan seperti itu adalah kiamat? Malah sempat melontarkan pertanyaan itu kepada abang yang turut bergelut dalam usaha me­nyelamatkan nyawa.

“Sejak kejadian itu, hanya saya dan abang saja terselamat, sementara ibu hilang bersama tujuh adik beradik kami,” katanya.

Berbeza kisahnya dilalui Sulaiman apabila detik sukar itu berlaku tatkala penduduk bergotong-royong membantu persiapan majlis perkahwinan pasangan pengantin di Desa Lampu’uk, pesisir Aceh.

Tanpa diduga gempa berkenaan ‘menyapu’ 7,000 penduduk dan mengaki­batkan mereka hilang punca selepas dihanyutkan gelombang besar yang memasuki penempatan berkenaan.

Paling menyedihkan kejadian itu melenyapkan 6,300 penduduknya dari pandangan termasuk isteri dan anak Sulaiman, malah mayat mereka gagal dikesan hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 5:01 AM