ANTARA barangan tempatan yang mendapat perhatian pelancong.
ANTARA barangan tempatan yang mendapat perhatian pelancong.
PENULIS sempat merasa keunikan kopi Aceh yang dibancuh dalam ramuan turun temurun.
PENULIS sempat merasa keunikan kopi Aceh yang dibancuh dalam ramuan turun temurun.
PESERTA Program Bakti Siswa meluangkan masa dengan penduduk Aceh yang masih daif.
PESERTA Program Bakti Siswa meluangkan masa dengan penduduk Aceh yang masih daif.
KUBAH masjid yang dilambung ketika tsunami menjadi tarikan pelancong.
KUBAH masjid yang dilambung ketika tsunami menjadi tarikan pelancong.
MASJID Raya Baiturrahman antara masjid yang terselamat daripada tsunami.
MASJID Raya Baiturrahman antara masjid yang terselamat daripada tsunami.
KAPAL di atas rumah menjadi tarikan pelancong di Banda Aceh.
KAPAL di atas rumah menjadi tarikan pelancong di Banda Aceh.
Oleh Nur Lela Zulkipli


Saat memegang jemputan Program Bakti Siswa anjuran pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke Banda Aceh, Indonesia, ingatan terus melayang pada tarikh 26 Disember 2004 bilamana tragedi tsunami pernah mengejutkan dunia.

Berpeluang melihat kesan kehancuran akibat tsunami, pelbagai persoalan timbul seperti bagaimana wajah baru Aceh, apakah kegiatan ekonomi yang dijalankan penduduk dan paling utama sudahkah Aceh pulih daripada tsunami ?

Wilayah seluas kira-kira 57,700 kilometer persegi di barat laut Sumatera, Indonesia itu memiliki 119 pulau, 73 sungai besar dan dua tasik dalam kawasan jajahannya, menjadikan Aceh unik dengan keindahan alam semula jadi selain kesan bencana alam yang tersisa.

Perasaan penulis apabila menjejakkan kaki di serambi Makkah itu seolah-olah berada di Kedah dengan wujudnya sawah padi kira-kira 50 meter dari pintu utama Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Musa di tengah Banda Aceh.

Membawa hajat besar bersama 25 pelajar kursus Kokurikulum Pengucapan Awam Tahap 2 (HPD 222A) untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Aceh yang masih daif, sedikit pun tidak menghalang kami untuk menikmati keindahan bumi Aceh.

Pensyarah Pengiring UiTM, Noor Afzan Zakaria, 37, yang banyak melakukan ‘kerja rumah’ mengenai tempat menarik berkata, kunjungan ke negeri itu berbaloi kerana masa kami terisi dengan baik di samping menyempurnakan aktiviti kebajikan yang dirancang selama empat bulan di tanah air.

Antara lokasi kesan tsunami yang membuka mata penulis mengenai kebesaran Allah adalah kunjungan ke Muzium Tsunami yang menempatkan bukti kejadian gempa bumi yang mengorbankan lebih 250,000 nyawa.

Memasuki pintu muzium berkenaan, pengunjung akan ‘ditegur’ oleh bunyi air terjun di sisi kiri dan kanan sebagai simbolik air laut yang menghentam bumi Aceh.

Di situ saja, naik bulu roma penulis seolah-olah merasakan bahang tsunami apabila berada dalam bangunan yang dikelilingi air terjun.

Sejurus itu, hati penulis tersentuh sebaik tiba di Kuburan Massal (perkuburan besar) tempat bersemadi lebih 45,000 korban tsunami. Mereka dikebumikan di dalam satu lubang besar tanpa dikafankan kerana jumlah mayat terlalu banyak.

Rombongan dibawa melawat beberapa lokasi lain yang terselamat daripada bencana itu, termasuk Masjid Raya Baiturrahman, Kapal Apung yang terdampar di atas rumah, kubah masjid yang dilambungkan, kapal kargo tersadai di tengah penempatan penduduk serta kawasan perkampungan nelayan yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Paling menyentuh perasaan daerah ‘tsunami’ itu menjadi senyap dan lengang setiap kali tiba waktu solat Jumaat sekali gus membuktikan gaya hidup penduduk berubah secara total dengan lebih mengutamakan Pencipta berbanding keperluan dunia.

Jika diimbas, pasti masih terngiang-ngiang perihal sebuah masjid bagai tidak terusik oleh ombak besar, sebaliknya kekal utuh di tengah-tengah kemusnahan sebuah kampung.

Masjid Raya Baiturrahman terletak 100 meter dari pesisiran pantai Elee Lhueu antara bukti kebesaran Allah yang ditinggalkan untuk tatapan dan renungan kita.

Rasa kagum dan hati berbisik, pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini, khusus kepada umat manusia seluruh dunia. Walaupun hampir 12 tahun kejadian itu berlalu, dapat dirasai suasana sayu masih menyelubungi penduduknya.

Bagi pelajar yang mengikuti rombongan, perasaan bertuah menyelubungi diri kerana berpeluang meneroka bumi yang dilanda tsunami.

Nur Dayana Yunus, 22, berkata, sebelum ini dia hanya melihat rakaman video menerusi Internet dan perasaannya bercampur baur apabila datang dan melihat sendiri kesan kehancuran tsunami.

“Sayu, sebak dan kagum dengan ketabahan penduduk tempatan yang meneruskan kehidupan walaupun kehilangan orang tersayang memberi semangat kepada saya untuk lebih bersyukur dan kuat menghadapi cabaran.

“Enam hari sememangnya tidak cukup berada di sini yang memberi makna kehidupan di dunia. Bayangan mengenai Aceh sebelum ini, saya dapat lihat sendiri di depan mata.

“Hakikatnya, Aceh bukan hanya wilayah yang memberi ruang untuk meneruskan kehidupan kepada penduduknya, sebaliknya satu permulaan kepada tamadun manusia yang hancur sepenuhnya sebelum ini,” katanya.

Namun, daripada pengamatan masyarakat Aceh yang mahir berdagang tidak terus meratapi nasib yang pernah menimpa mereka, malah bangkit membina hidup baru.

Aktiviti pertanian kecil-kecilan turut membuktikan kehidupan rakyat Aceh semakin pulih di mana banyak negara maju mula membuka mata terhadap industri kopi Aceh yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

Bukan itu saja, Pasar Aceh pula menjual barangan tempatan seperti beg tangan, baju, tudung dan banyak lagi sehingga boleh disamakan dengan keadaan sibuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman setiap kali tiba waktu perayaan.

Ini membuktikan kawasan yang dulunya bagaikan padang jarak padang terkukur selepas dibadai tsunami kini padat dengan pembangunan. Deretan perumahan, rumah kedai dan bangunan baru dibina pula membuktikan ekonomi Aceh semakin kukuh saban tahun.

Satu daripada cabang penjanaan ekonomi di Aceh pastinya membabitkan sektor pelancongan. Selain kesan tinggalan tsunami dijadikan lokasi pelancongan, Aceh kaya dengan khazanah alam bagi pengunjung untuk bersantai merehatkan fikiran.

Bagi yang memilih untuk mendekati penduduk Aceh asli, banyak kampung seperti Kampung Pande yang terletak berhampiran pusat bandar dibuka setiap masa bagi membuka ruang sosial antara penduduk dan pelancong.

Keunikan Aceh perlu diterokai sama seperti tempat bersejarah yang lain kerana bagi mereka yang berpeluang melihat sendiri Aceh, akan memahami keunikan yang tersorok dek persepsi buruk mengenai tsunami.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 5:01 AM