SEORANG lelaki Jerman meletakkan bunga pada tembok tugu mangsa tsunami di Dataran Tsunami di Baan Nam Khem, wilayah Phanga di selatan Thai.
SEORANG lelaki Jerman meletakkan bunga pada tembok tugu mangsa tsunami di Dataran Tsunami di Baan Nam Khem, wilayah Phanga di selatan Thai.
PELAJAR  Thai membuat skulptur pasir sempena memperingati ulang tahun ke-10 kejadian tsunami di Phuket, semalam.
PELAJAR Thai membuat skulptur pasir sempena memperingati ulang tahun ke-10 kejadian tsunami di Phuket, semalam.
NAIB  Presiden Indonesia Jusuf Kalla menabur bunga di tugu peringatan mangsa tsunami di Aceh Besar, semalam.
NAIB Presiden Indonesia Jusuf Kalla menabur bunga di tugu peringatan mangsa tsunami di Aceh Besar, semalam.
Agensi

Banda Aceh: Ribuan penduduk berkumpul di bandar ini semalam bagi memperingati tragedi tsunami yang melanda tepat 10 tahun lalu.

Upacara itu turut diadakan di beberapa negara yang terbabit dalam bencana yang meragut 220,000 nyawa itu.

Kejadian malang itu berlaku pada 26 Disember 2004, apabila gempa bumi berukuran 9.3 magnitud melanda luar pantai barat Indonesia dan mencetuskan siri gelombang maut yang turut membawa kemusnahan dan kehilangan jiwa di Thailand, Sri Lanka hingga ke Somalia.

Antara mangsa, termasuk ribuan pelancong luar negara yang datang untuk menyambut Krismas di rantau itu.

Semalam, mangsa tsunami yang terselamat dan pekerja mengetuai 7,000 orang berkumpul di Masjid Baiturrahman bagi mengadakan solat khas memperingati mangsa.

Gabenor Aceh Zaini Abdullah ketika berucap di masjid itu mengucapkan terima kasih kepada penduduk Indonesia dan masyarakat antarabangsa kerana menghulurkan bantuan.

Masjid berkenaan adalah antara segelintir bangunan yang tidak terjejas walaupun ombak besar melanda Banda Aceh.

Kira-kira 170,000 penduduk Aceh dilapor mati atau hilang berikutan bencana itu.

Seorang nelayan, Kamaruddin berkata, dia menghadiri upcara itu bagi memperingati isteri dan tiga anaknya yang mati dalam kejadian berkenaan.

“Saya berharap tiada lagi bencana melanda Aceh,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.

Di Meulaboh, bandar nelayan yang dianggap kawasan bermulanya bencana itu - tempat ombak setinggi 35 meter meranapkan hampir apa saja - bendera Indonesia dikibarkan separuh tiang ketika penduduk lain mengadakan solat hajat di masjid.

Upacara memperingati 10 tahun tsunami itu diadakan secara rasmi di Aceh, sebelum beralih ke Phuket dan Khao Lak di Thailand, tempat 5,395 orang terbunuh akibat bencana itu.

Seorang warga Britain, Andy Chaggar, yang terselamat dalam peristiwa 10 tahun lalu itu berkata di Khao Lak, dia berada di sebuah banglo di pusat peranginan itu ketika kejadian.

“Saya ditarik ke dalam air yang terdapat kaca, besi, kepingan kayu dan bata. Ia seperti berada di dalam mesin basuh yang penuh paku,” katanya.

Teman wanitanya terbunuh dalam kejadian berkenaan.

Upacara sama juga diadakan di Sri Lanka, khususnya di kawasan tempat sebuah kereta api yang membawa 1,500 penumpang dihanyutkan.

Beberapa bandar raya di Eropah turut mengadakan majlis berkabung bagi memperingati rakyat masing-masing yang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:43 PM