SATU babak dalam filem ‘The Interview’.
SATU babak dalam filem ‘The Interview’.

Seoul: Korea Utara semalam menyelar Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama sebagai ‘monyet’ yang menghasut pembikinan filem komedi berkisahkan cubaan membunuh pemimpin mereka selain mengugut membalas penghinaan itu.

Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan Korea Utara (NDC) turut menuduh AS ‘mengganggu operasi Internet’ saluran media Korea Utara.

Negara itu mengalami gangguan Internet minggu lalu mencetuskan spekulasi bahawa pihak berkuasa AS melancarkan serangan siber bagi membalas penggodaman Sony Pictures - studio yang bertanggungjawab untuk komedi mengenai Korea Utara, ‘The Interview’ - didakwa dilakukan Pyongyang.

NDC menuduh Obama sebagai penghasut apabila menggalakkan panggung wayang menayangkan ‘The Interview’ pada hari Natal.

Sony pada mulanya membatalkan penayangan filem itu selepas rangkaian panggung wayang utama AS enggan menyiarkannya berikutan penggodam membuat ugutan terhadap pengunjung mereka.

Jurucakap jabatan dasar NDC mengkritik Obama dalam kenyataan disiarkan agensi berita kebangsaan KCNA.

“Obama tidak berfikir apabila bercakap atau bertindak, tak ubah seperti monyet dalam hutan.

“Jika AS meneruskan perangainya yang takbur dan angkuh seperti samseng walaupun Korea Utara berulang kali memberi amaran, awaslah. Adalah balasan politiknya nanti,” katanya.

Dia menuduh Washington mengaitkan Korea Utara dalam kejadian penggodaman Sony tanpa sebarang bukti nyata dan sekali lagi menyelar filem yang disifatkan “menggalakkan fahaman keganasan dihasilkan ahli politik dari pentadbiran AS.”

Filem itu meraih sejuta dolar pada hari pertama dengan siaran terhad di sekitar 300 panggung - kebanyakkanya panggung bebas yang kecil. Ia boleh disewa atau dibeli di Internet. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:08 AM