FILEM Korea Selatan, Peninsula yang turut menampilkan  pelakon Malaysia menjadi filem pecah panggung pertama di negara ini sebaik pawagam mula beroperasi pada 1 Julai lalu.
FILEM Korea Selatan, Peninsula yang turut menampilkan pelakon Malaysia menjadi filem pecah panggung pertama di negara ini sebaik pawagam mula beroperasi pada 1 Julai lalu.
Riadz Radzi


INDUSTRI hiburan adalah antara yang paling teruk terjejas apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.

Apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu, industri hiburan terus 'mati.'

Penggambaran filem dan drama dihentikan, tiada konsert dan tayangan filem apabila semua panggung wayang turut diarah tutup.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini membenarkan penggambaran diteruskan.

Panggung wayang yang ditutup lebih tiga bulan pula dibenarkan beroperasi sejak 1 Julai lalu.

Kini, selepas hampir sebulan, operasi panggung wayang mula bernafas kembali. Selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kerusi dalam panggung wayang mula terisi kembali.

Ketua Pegawai Operasi TGV Cinemas, Yeoh Oon Lai dipetik sebagai berkata, pembukaan semula panggung wayang selepas lebih tiga bulan tidak beroperasi adalah amat mencabar.

"Namun, kami meletakkan harapan tinggi terhadap masa depan industri filem. Kami yakin perniagaan panggung wayang akan pulih seperti sedia kala kerana rakyat tanpa mengira peringkat umur, gemar menonton wayang. Kami optimis peminat kembali memberi sokongan kepada industri perfileman seperti sebelum berlaku Covid-19," katanya.

Penangguhan tayangan filem besar Hollywood juga dilihat bakal memberi kesan kepada operasi panggung wayang di sini.

Antara filem berkenaan ialah Mulan, James Bond: No Time To Die, Tenet, A Quiet Place II, Black Widow dan Wonder Woman 1984.

Bagaimanapun, Mulan dijangka ditayangkan 21 Ogos ini selepas ditangguhkan pada 24 Julai lalu.

Ini termasuk keengganan segelintir syarikat produksi tempatan untuk menayangkan filem mereka kerana bimbang dengan sambutan dingin penonton.

Oon Lai berkata, pihaknya tidak menafikan situasi itu memberi kesan besar kepada pengendali pawagam apabila pelanggan tidak mempunyai banyak pilihan judul filem
untuk ditonton.

"Memang tidak dinafikan bekalan filem Hollywood yang terjejas memberi impak besar kepada industri filem. Kebanyakan filem judul besar ditangguh tayangannya hingga tahun depan. Jadi, kita kekurangan bekalan filem," katanya.

Bagaimanapun, kehadiran filem Korea Selatan, Peninsula yang juga sekuel kepada filem fenomena pada 2016, Train To Busan memberi kelegaan kepada pengendali panggung wayang di sini.

Golden Screen Cinema (GSC) dalam satu kenyataan memaklumkan, filem arahan Yeon Sang-ho yang mula ditayangkan pada 16 Julai lalu itu menjadi filem pecah panggung pertama di Malaysia sebaik panggung wayang mula beroperasi pada 1 Julai lalu.

Filem yang turut menampilkan pelakon Malaysia, Bella Rahim itu mencatat kutipan RM4.1 juta dengan 260,000 penonton dalam tempoh seminggu tayangan.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama GSC, Sharmaine Ishak berkata, pihaknya sangat teruja dengan reaksi positif pelanggan dalam tempoh dua minggu pertama panggung wayang dibuka kembali.

"Lebih 150,000 tiket terjual di seluruh negara dalam dua minggu pertama itu dan angkanya terus meningkat sebaik filem Peninsula dimulakan tayangannya. Ini petanda sangat baik pelanggan lebih memilih pengalaman menonton skrin besar yang tidak boleh dinikmati di rumah.

"Kami menjangkakan lebih ramai pelanggan bakal kembali menonton di panggung wayang dengan penayangan filem pecah panggung pada masa akan datang," katanya.

Pada masa sama, penonton juga tahu menjaga keselamatan diri dan melakukan pematuhan SOP yang terbaik di samping GSC sendiri tidak putus memberi iklan peringatan mengenai perkara itu.

"Memang tiada isu mengenai pematuhan terhadap SOP dan mereka sangat berhati-hati dan mengambil berat kebersihan serta kesejahteraan mereka.

"Bagaimanapun, kami konsisten untuk berterusan memberi penekanan terhadap langkah keselamatan dan pencegahan menerusi media sosial serta platform digital yang lain. Kesihatan dan keselamatan mereka tentu masih keutamaan nombor satu," katanya.

Apa yang pasti, tempoh pemulihan panggung wayang di sini berlaku lebih awal jika lebih banyak filem besar ditayangkan selain pematuhan SOP oleh pelanggan.


Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 6:00 AM