GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

Seoul: Penggodam Korea Utara cuba memasuki sistem komputer gergasi farmaseutikal, Pfizer dalam usaha mendapatkan maklumat mengenai teknologi rawatan dan vaksin Covid-19, kata agensi perisikan Korea Utara, berdasarkan laporan.

Korea Utara berada di bawah pengasingan sejak menutup sempadannya pada Januari tahun lalu dalam usaha melindungi diri dari virus yang pertama kali muncul di negara jiran China.

Pemimpinnya, Kim Jong Un berulang kali menegaskan bahawa negaranya tidak merekodkan sebarang kes jangkitan Covid-19 walaupun beberapa pakar meragui kenyataan berkenaan.

Penutupan itu telah menambah tekanan pada ekonominya yang hancur akibat sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap sistem senjata yang dilarang, meningkatkan desakan bagi Pyongyang untuk mencari jalan untuk mengatasi penyakit berkenaan.

Perkhidmatan Perisikan Nasional Seoul "memberi penerangan kepada kami bahawa Korea Utara berusaha mendapatkan teknologi yang membabitkan vaksin dan rawatan Covid-19 dengan menggunakan perang siber untuk menggodam Pfizer", kata ahli Parlimen Ha Tae-keung kepada wartawan selepas sidang parlimen yang diadakan secara tertutup.

Korea Utara dikenali dengan usaha menggerakkan ribuan penggodam terlatih untuk menyerang firma, institusi dan penyelidik di Korea Selatan dan beberapa negara lain.

Pejabat Pfizer di Korea Selatan belum memberikan maklum balas daripada pertanyaan AFP.

Pfizer dan BioNTech pada Disember tahun lalu memaklumkan bahawa dokumen berkaitan vaksin yang dihasilkan, telah 'diakses secara tidak sah' dalam satu kejadian serangan siber pada pelayar di Agensi Perubatan Eropah.

Keupayaan perang siber Pyongyang mula dikenali di peringkat global pada 2014 selepas ia dituduh menggodam sistem Sony Pictures Entertainment sebagai membalas dendam terhadap penerbitan filem satira, The Interview yang mengejek pemimpin mereka, Jong Un.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 7:32 PM