SETH Rogen dan James Franco sebagai watak utama dalam The Interview.
SETH Rogen dan James Franco sebagai watak utama dalam The Interview.
Susunan Norhayati Nordin

Filem kontroversi The Interview mencipta rekod apabila mencatat kutipan sebanyak AS$15 juta (RM52.4 juta) selepas ia mula ditayangkan menerusi 'online' sejak 25 Disember lalu.

Selain itu, filem arahan Evan Goldberg dan Seth Rogen itu turut mencatat kutipan sebanyak AS$2.8 juta (RM9.8 juta) menerusi tayangan di beberapa pawagam di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh yang sama.

Pada 25 Disember lalu, filem lakonan Seth Rogen, James Franco, Lizzy Caplan, Randall Park dan Tommy Chang terbitan Sony Pictures itu dibatalkan tayangannya apabila infrastruktur komputer Sony Pictures mengalami serangan siber paling teruk dalam sejarah mereka.

Penggodam turut mengugut bahawa ancaman keganasan terhadap panggung wayang akan berlaku sekiranya Sony Pictures terus dengan keputusan menayangkan filem itu.

The Interview adalah sebuah filem komedi mengenai perancangan pembunuhan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendakwa serangan siber itu dilakukan pihak tertentu yang membantu Korea Utara yang sebelum ini mengecam penerbitan filem berkenaan.

Dalam pada itu, selepas dibatalkan tayangannya di AS dan hanya ditayangkan di beberapa pawagam, The Interview bakal menemui penonton di Kanada apabila mula ditayangkan di Calgary, Saskatoon, Ottawa, Toronto, Montreal dan beberapa lokasi di negara itu mulai esok.

Pada sesi pratonton bersama peminat di Los Angeles pada 25 Disember lalu, sambutan diterima sangat mengejutkan.

Rogen yang turut hadir pada tayangan itu bersikap terbuka dengan memuji peminat kerana sanggup hadir memberi sokongan kepada The Interview.

"Anda sememangnya penonton serta penyokong yang terbaik, tanpa sokongan hebat ini tidak mungkin keadaan ini berlaku sama sekali.

"Saya amat berterima kasih di atas segala sokongan yang anda semua berikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:00 AM