JOAQUIN Phoenix sebagai Joker.
JOAQUIN Phoenix sebagai Joker.
AFP

LOS ANGELES: Polis Los Angeles akan meningkatkan keselamatan di panggung wayang sempena penyiaran filem ‘Joker’ susulan kerisauan terhadap kandungan filem berkenaan yang dibimbangi mampu mencetuskan keganasan.

Jurucakap polis Rosie Cervantes memberitahu AFP, walaupun tiada ancaman di Los Angeles, pihaknya akan meletakkan lebih ramai anggota di sekitar panggung wayang apabila filem berkenaan mula ditayangkan, minggu depan.

“Kami menggalakkan semua orang keluar dan berseronok dengan pelbagai aktiviti rekreasi ditawarkan bandar ini, bagaimanapun penduduk mesti tetap berhati-hati dan peka dengan persekitaran anda.

“Seperti biasa, jika anda nampak sesuatu (yang tidak kena), katakan sesuatu,” katanya.

Filem Warner Bros itu memaparkan penjahat kejam yang juga musuh Batman, lakonan Joaquin Phoenix sebagai wira, dan ada pengkritik menyuarakan kebimbangan ia mungkin menghasut keganasan.

‘Joker’ ditayangkan tujuh tahun selepas 12 orang terbunuh di Aurora, Colorado, apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ketika tayangan filem Batman ‘The Dark Knight Rises.’

Awal minggu ini, keluarga beberapa mangsa kejadian itu menerbitkan surat terbuka di Hollywood menyuarakan kebimbangan mereka.

Filem itu memaparkan Joker sebagai lelaki muda yang kemurungan dan cuba membina kerjaya sebagai pelawak tetapi sering gagal dan ditolak dalam masyarakat sehingga dia bertindak ekstrem bertukar ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 11:01 AM