Kuala Lumpur: Kemelut kewangan dialami beberapa pasukan bola sepak tempatan ketika ini menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar).

Beliau yang menyuarakan kebimbangan dengan senario itu berharap ada jalan penyelesaian mampu dicapai pihak persatuan bola sepak negeri bermasalah termasuk Kelantan.

Dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook Najib Razak semalam, beliau meminta bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa kembali membantu kemelut kewangan skuad The Red Warriors itu yang berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Saya bimbang bila dapat tahu ada persatuan bola sepak negeri antaranya Kelantan mahu menarik diri daripada Liga Malaysia 2017 kerana masalah kewangan.

“Saya harap KAFA dan juga negeri lain yang terbabit mencari jalan mengatasi masalah kewangan ini.

“Berkenaan KAFA, saya difahamkan masalah ini timbul berikutan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai presiden. Saya sudah meminta Tan Sri untuk membantu KAFA, agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors,” kata Najib.

Masalah kewangan menghimpit beberapa pasukan termasuk dua pasukan besar Liga Super Kelantan dan Selangor berikutan tidak mendapat dana kerajaan negeri dan penaja.

KAFA ketika ini hanya mempunyai RM800,000 dalam kantung persatuan dan nasib mereka bakal diketahui pada 29 Disember ini manakala Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut menagih simpati kerajaan negeri untuk bertanding tahun depan.

Jika tidak mereka juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga-M.

Najib berkata, kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan sukan utama negara ini terus berkembang.

“Bola sepak adalah sukan rakyat nombor 1 negara, maka penting untuk semua terbabit memastikan sukan ini terus berkembang maju. Kita tidak boleh menghampakan berjuta peminat bola sepak negara ini terutamanya generasi muda.

“Insya-Allah, dengan adanya persepakatan serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar dari masalah ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 9:50 AM