ANNUAR (tiga dari kanan) ketika menjulang Piala FA bersama Kelantan pada 2012.
ANNUAR (tiga dari kanan) ketika menjulang Piala FA bersama Kelantan pada 2012.
Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Jika ditanya siapa yang layak memimpin Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), individu berkenaan adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berdasarkan kepada pencapaian dan komitmen hingga berjaya membawa Kelantan mencipta kejayaan.

Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi berkata, pemimpin itu adalah individu paling sesuai untuk menyelamatkan Kafa dan bola sepak negeri itu supaya tidak hilang daripada radar Liga Malaysia (Liga M) seperti Perlis.

Malah, katanya, wibawa Annuar terbukti apabila rekod menunjukkan kali terakhir Kelantan menjulang piala adalah ketika Annuar memimpin pasukan terbabit kira-kira lapan tahun lalu.

Dia yang mesra dipanggil Piya berkata, antara kejayaan pada zaman kegemilangan skuad 'The Red Warriors' di bawah pimpinan Annuar ialah memenangi treble pada 2012 iaitu muncul sebagai juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

"Ketika ini saya hanya melihat Tan Sri saja boleh membantu Kelantan untuk keluar daripada kemelut masalah terbabit dan menyelamatkan pasukan itu supaya tidak dikenakan sebarang tindakan.

"Saya ada juga berbincang mengenai masalah yang dihadapi Kafa bersama bekas pemain lain dan kebimbangan adalah mungkin pasukan itu akan menerima nasib sama seperti Perlis.

"Sekarang ini, apa yang penting adalah melakukan 'pembersihan' dalam Kafa dengan melantik individu yang ikhlas untuk membangunkan pasukan itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kafa ditimpa pelbagai masalah iaitu menanggung hutang mencecah RM5 juta selain gagal membayar gaji pemain sejak April lalu sekali gus boleh dikatakan hanya selangkah menerima nasib seperti Perlis dua tahun lalu.

Persatuan itu turut diarahkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) supaya membayar tunggakan gaji tiga bekas pemain import berjumlah kira-kira RM1 juta, selain dibebani lima kes sama yang belum diputuskan Fifa.

Masalah yang dihadapi skuad Che Siti Wan Kembang itu sebenarnya tidak hanya terhenti di situ saja, malah merehatkan presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah buat sementara waktu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk bola sepak negeri itu.

Jawatankuasa eksekutif Kafa turut bersetuju melantik naib presidennya, Datuk Shaari Mat Husin bagi memangku jawatan presiden.

Senario yang dihadapi badan induk bola sepak negeri itu boleh dikatakan dalam keadaan 'nazak' seterusnya memerlukan individu berkaliber memgembalikan kegemilangan pasukan terbabit seperti dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 6:40 AM