HUSSIN DERAMAN. FOTO FACEBOOK HUSSIN DERAMAN
HUSSIN DERAMAN. FOTO FACEBOOK HUSSIN DERAMAN
Arena HM

KUALA LUMPUR: Jika berkelayakan dan mampu menyelesaikan kemelut kewangan, siapa saja boleh menerajui kepemimpinan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) walaupun sebelum ini pernah memegang jawatan terbabit.

Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman berkata, tiada halangan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk kembali memimpin Kelantan seterusnya membantu menyelesaikan kemelut kewangan serta beberapa masalah lain yang kini melanda pasukan itu.

Beliau berkata, perkara utama ketika ini menyelamatkan pasukan daripada dikenakan sebarang tindakan termasuk kemungkinan disingkirkan berikutan gagal membayar tunggakan gaji sebelum ini.

"Kita bersifat terbuka dan mengalukan individu yang mampu membawa perubahan dalam pasukan seterusnya keluar daripada kemelut kewangan.

"Jika beliau (Annuar Musa) mahu pimpin, kita akan memberikan kerjasama dengan membina kembali pasukan," katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi mencadangkan supaya Annuar memimpin semula Kafa berdasarkan kepada pencapaian dan komitmen hingga membawa Kelantan mencipta kejayaan.

Dia yang mesra dipanggil Piya berkata, antara kejayaan pada zaman kegemilangan skuad The Red Warriors di bawah pimpinan Annuar ialah memenangi treble pada 2012 iaitu muncul juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:00 AM