Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan pengasas Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida sudah berunding berhubung penajaan pasukan Kelantan untuk musim depan malam tadi namun masih belum ada kata putus dibuat.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau bersama Datuk Seri Vida ada berbincang mengenai penajaan itu ketika melakukan pertemuan dengan beberapa rakannya dari China di sebuah hotel.

Katanya, melalui pertemuan hampir dua jam itu, pelbagai perkara dan topik dibincangkan termasuk kekangan masalah kewangan yang dihadapi oleh KAFA.

"Perbincangan itu berjalan lancar dan beliau (Datuk Seri Vida) agak memahami situasi dihadapi KAFA, namun, beliau belum memberikan kata putus.

"Sebagai anak jati Kelantan, saya berharap beliau dapat membantu dalam menaikkan semula imej pasukan Kelantan, sekali gus dapat bersaing dengan pasukan lain yang lebih gah musim depan," katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.

Terdahulu, Annuar memuat naik status di laman sosial Facebooknya berhubung pertemuannya dengan Datuk Seri Vida.

Annuar menerusi Facebooknya berkata, Qu Puteh masih belum tersenarai sebagai penaja The Red Warriors untuk musim depan walaupun ada berbincang berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 6:26 PM