MADURO gesa wanita di Venezuela melahirkan enam anak. FOTO Agensi
MADURO gesa wanita di Venezuela melahirkan enam anak. FOTO Agensi
Agensi

CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolás Maduro menggesa wanita memiliki enam anak demi ‘kebaikan negara’.

Lapor BBC News dalam penampilannya di televisyen ketika mempromosikan pelan penjagaan kesihatan wanita nasional, Maduro menggalakkan wanita melahirkan anak lebih ramai.

“Setiap wanita perlu melahirkan enam anak demi kebaikan negara.

“Semoga Tuhan merahmati kamu dengan menganugerahkan enam anak lelaki dan perempuan,” katanya.

Negara terbabit berdepan krisis ekonomi dengan kekurangan beberapa makanan dan perubatan.

Sebuah badan amal mendakwa, peningkatan 70 peratus bilangan bayi ditinggalkan di jalanan dan di pintu masuk bangunan awam pada 2018.

Berdasarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kanak-kanak di Venezuela kekurangan nutrisi sejak 2013 hingga 2018.

Kajian Program Makanan Dunia PBB mendedahkan, satu dalam tiga rakyat Venezuela berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan berkhasiat sekurang-kurangya mencapai tahap minimum kadar keperluan nutrisi.

Pertelagahan kuasa antara kerajaan dan pembangkang memburukkan lagi pelbagai usaha negara.

Ketua pembangkang, Juan Guaido dianggap sebagai pemimpin Venezuela yang sah oleh lebih 50 negara.

Namun, Maduro yang juga pemimpin sayap kiri negara kekal berkuasa selepas meraih sokongan tentera Venezuela.

Penyokong Guaido, Manuela Bolivar memberikan reaksi berang di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:40 AM