Ipoh: Lapan cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 41, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, hari ini.

Kemalangan itu membabitkan kereta Perodua Myvi, Toyota Vellfire dan Honda Accord.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Abdul Khir Md Noh, berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.30 petang.

Akibat kemalangan itu, katanya, suami isteri yang menaiki Perodua Myvi dari Ipoh ke Cameron Highlands, patah kaki dan tangan.

“Kemalangan itu turut menyebabkan enam termasuk dua kanak-kanak yang menaiki Toyota Vellfire cedera manakala pemandu dan penumpang Honda Accord tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Abdul Khir berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:22 PM