DUA beranak termasuk bayi maut, manakala seorang parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.FOTO Ihsan JBPM Perak
DUA beranak termasuk bayi maut, manakala seorang parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.FOTO Ihsan JBPM Perak
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Ibu dan bayinya maut manakala seorang parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini tengah hari tadi.

Wanita berusia 23 tahun dan bayinya berusia tiga bulan yang menaiki kereta Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang kereta Perodua Myvi dikenal pasti sebagai Nor Syahira Mohd Fadhail, 23 dan anaknya, Muhammad Rayyan Nauffal Amyroul Shah Huszaiery.

Manakala, suami Nor Syahira, Amyroul Shah Huszaiery Yusry, 23, yang memandu mengalami kecederaan parah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berhubung kejadian pada jam 12.46 tengah hari sebelum anggota bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan Mercedes Benz yang bertembung.

"Terdapat tiga mangsa di dalam Perodua Myvi, seorang lelaki berusia 23 tahun cedera parah tersepit di bahagian pemandu, manakala dua mangsa lagi disahkan maut di lokasi kejadian oleh kakitangan perubatan yang tiba," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, manakala seorang mangsa lelaki dari kereta Mercedes Benz mengalami cedera ringan.

Katanya, anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan anggota (EMRS) memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan.

"Manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Keseluruhan operasi tamat pada jam 2.54 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 4:33 PM