Dua maut dan empat cedera selepas sebuah motosikal bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan jalan raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM PERAK
Dua maut dan empat cedera selepas sebuah motosikal bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan jalan raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM PERAK
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang lelaki dan kanak-kanak Orang Asli maut, manakala empat cedera apabila motosikal bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, hari ini.

Dua yang maut adalah penunggang dan pembonceng motosikal, manakala empat yang cedera menaiki Toyota Alphard.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.46 pagi.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan pertembungan dari arah bertentangan.

"Kemalangan mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke dalam semak dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan hospital," katanya.

Katanya, sementara dua lelaki dewasa dan masing-masing seorang wanita dan kanak-kanak perempuan yang menaiki Toyota Alphard cedera.

Menurutnya, mangsa yang maut diserahkan kepada polis, manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, keseluruhan operasi tamat pada jam 11.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 3:12 PM