Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysia Biotechnology Corporation Sdn Bhd (Biotechcorp) berharap mencatatkan nilai pelaburan sehingga RM30 bilion menjelang 2020 bersandarkan prestasi tarikan pelaburan yang sentiasa melebihi sasaran awal diletakkannya setiap tahun.

Di peringkat awal, antara tahun 2011 hingga 2014, Biotechcorp meletakkan sasaran tarikan pelaburan RM9 bilion dan kini pada akhir 2014, ia dapat mencatatkan RM18 bilion melepasi sasaran awal berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, pada 2015 Biotechcorp mengunjurkan dapat menambah pelaburan sebanyak RM4 bilion menjadikan pelaburan terkumpul sejak 2011 kepada RM22 bilion.

Beliau berkata, walaupun keadaan ekonomi ketika ini berdepan dengan cabaran tetapi ia turut memberi kesan positif kepada perkembangan industri bioteknologi negara.

“Tahun depan, kita akan memfokuskan kepada dua sektor iaitu kelapa sawit dan getah untuk diinovasikan sebagai antara produk inovasi yang pelbagai yang boleh mendapat permintaan pasaran.

“Selain itu, dengan kejatuhan pasaran minyak ketika ini boleh memberi manfaat kepada kita untuk menghasilkan produk yang tidak bergantung kepada bahan komoditi berkenaan dan menjadikan minyak kelapa sawit sebagai alternatif,” katanya di sini, baru-baru ini.

Ketika ini, Biotechcorp mempunyai sebanyak 247 syarikat BioNexus yang bernaung di bawahnya apabila syarikat ini menerima pelbagai sokongan daripada Biotechcorp untuk melahirkan produk inovasi bioteknologi dan dibawa ke pasaran komersial.

Nazlee berkata, bagi mengalakkan sasaran RM30 bilion menjelang 2020, Biotechcorp juga akan mengiatkan pasaran produk bioteknologi tempatan ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan Asean sebagai rantau pertama pasaran pada tahun depan.

Katanya, Persidangan Asean yang berlangsung di Malaysia pada tahun depan memberi kelebihan kepada negara untuk mempromosikan industri itu di kalangan negara Asean.

“Setakat ini, syarikat BioNexus berjaya mencatatkan RM3 bilion perolehan dan kita jangkakan ia akan meningkat tiga kali ganda selepas menerokai pasaran Asean,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:08 AM