Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjangkakan 16 lagi syarikat yang berasaskan bio akan mencapai status BioNexus menjelang akhir tahun ini daripada 267 syarikat sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Madius Tangau berkata, status BioNexus diberikan kepada syarikat berasaskan bio yang berjaya dalam bidang bioteknologi.

Katanya, syarikat berstatus BioNexus itu juga merekodkan RM3.1 bilion pelaburan asing dan tempatan pada suku ketiga 2015, meningkat enam peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Syarikat berstatus BioNexus ini juga muncul sebagai penyumbang utama kepada ekonomi, mewujudkan pasaran khusus untuk produk dikomersialkan.

“Pelbagai usaha yang lebih agresif perlu dibuat untuk menggalakkan pembabitan lebih banyak syarikat berstatus BioNexus, terutama dari luar negara,” katanya pada sidang media sempena BioMalaysia dan BioEkonomi Asia Pasifik 2016 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Madius berkata, pada suku ketiga 2015, syarikat berstatus BioNexus mencatatkan perolehan eksport bernilai RM594.4 juta iaitu peningkatan 10 peratus berbanding suku ketiga 2014.

Menurutnya, syarikat berkenaan sehingga kini menjana RM6.42 bilion nilai pelaburan yang diluluskan, malah beberapa syarikat itu turut aktif dalam aktiviti pengeksportan.

Beliau berkata, MOSTI juga dalam usaha mengenengahkan produk berasaskan bio sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dan meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, BioMalaysia dan BioEkonomi Asia Pasifik 2016 dijangka terus mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu pertemuan penting bagi peserta antarabangsa dan tempatan dalam industri berasaskan bio.

Peserta tahun ini dijangka datang dari Jerman, Thailand, Poland, India, Afrika Selatan dan Laos. Acara kali ini akan diadakan pada 31 Mei hingga 2 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:02 AM