San Francisco: Industri berasaskan bio dan bioteknologi dijangka menarik pelaburan RM5 bilion dari Amerika Syarikat (AS) antara 2016 dan 2020 susulan pembukaan pejabat utama Malaysian Biotechnology Corp (BiotechCorp), BiotechCorp International Inc (BII), di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, sumbangan pasaran AS itu adalah sebahagian daripada unjuran pelaburan RM15 bilion di bawah fasa ketiga Dasar Bioteknologi Negara antara 2016-2020.

“Dasar ini diwujudkan pada 2005 bagi menjadikan sektor bioteknologi Malaysia sebagai pemacu utama ekonomi negara. BII bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelaburan dari AS ke Malaysia. Kami juga mahu syarikat Malaysia mengambil peluang dengan adanya pejabat di San Francisco untuk melabur di AS,” katanya selepas pelancaran BII oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Ewon Ebin di sini, baru-baru ini.

Misi Pelaburan Khusus San Francisco turut dianjurkan sempena pembukaan rasmi pejabat berkenaan. Sejak ditubuhkan pada 2005, BiotechCorp melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan perniagaan bagi menarik pelaburan langsung asing berpangkalan di AS ke Malaysia.

Setakat ini ia menarik RM2.63 bilion dalam pelaburan agregat daripada syarikat berpangkalan di AS. BiotechCorp juga telah menganjurkan inisiatif pembangunan perniagaan dan kerjasama dengan California Institute for Quantitative Bio Sciences, Larta Institute serta syarikat seperti Abbott Medical Optics dan Verdezyne Inc. Pejabat BiotechCorp terletak berhampiran Mission Bay, kawasan tumpuan syarikat bioteknologi dan sains hayat. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:42 PM