Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Biotechnology Corporation (BiotechCorp), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjangkakan untuk meraih perolehan mencecah RM2 bilion daripada 248 syarikat berstatus BioNexus sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, pada tahun lalu semua syarikat berstatus BioNexus itu menjana perolehan sebanyak RM1.4 bilion berbanding RM1.169 bilion pada 2013.

“Kebanyakan produk yang dihasilkan berjaya menembusi pasaran luar negara bergantung kepada segmen produk. Syarikat ini menembusi Amerika Latin, Asia dan Eropah sebelum membuat penerokaan di Amerika Syarikat,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 53 peratus syarikat berstatus BioNexus mencatatkan pendapatan yang baik, lebih banyak usaha giat dijalankan untuk membantu syarikat lain mencatatkan prestasi lebih baik berbanding sebelum ini.

“Tahun ini, kami menjangkakan lebih banyak syarikat akan menjana pendapatan yang lebih baik memandangkan ada di antara mereka berjaya menandatangani kontrak pengeluaran produk dengan jenama terkemuka dunia,” katanya selepas pembukaan Bioeconomy Accelerator Programme:Commercialisation Assistance Programme (CAP) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Abu Bakar Md Diah.

CAP adalah kerjasama antara BiotechCorp dan Larta Institute of California di mana syarikat berstatus BioNexus akan diberi pendedahan dan latihan berkaitan pengkomersialan produk.

Kerjasama berkenaan sudah dijalankan sejak 2009 dan berjaya membantu 18 syarikat dalam sesi yang dikendalikan sebelum ini dan 20 syarikat menyertai latihan yang dijalankan pada tahun ini.

Dalam bengkel ini, syarikat berpeluang mengambil bahagian dalam sesi interaktif khusus pada akses pasaran, landskap perniagaan, harta intelek, pembiayaan, pemasaran, penjenamaan dan perkongsian perniagaan.

Menurutnya, syarikat yang menyertai program berkenaan perlu menjalani latihan selama tujuh bulan sebagai persediaan menembusi pasaran antarabangsa.

“Program ini lebih bersifat fokus khususnya dengan teknik bimbingan yang menggalakkan syarikat lebih berdaya saing untuk meningkatkan nilai komersial produk dan kesediaan mereka menembusi pasaran global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:06 AM