Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (Biotech Corp) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pelaburan dalam bidang bioteknologi tempatan sebanyak RM4 bilion tahun ini berbanding RM5 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu berikutan keadaan ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, sasaran itu dilihat masih positif apabila sejak 2011 hingga Jun tahun ini, Biotech Corp berjaya mencatatkan pelaburan sebanyak RM21.3 bilion, sekali gus menunjukkan perkembangan baik dalam industri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, pada tahun ini setakat Jun lalu, Biotech Corp mencatatkan sekitar RM3 bilion yang mana 70 peratus daripada jumlah itu disumbangkan oleh pelabur domestik.

Beliau berkata, penyertaan pelaburan domestik yang mendominasi jumlah pelaburan keseluruhan menunjukkan industri bioteknologi tempatan semakin mendapat perhatian daripada usahawan tempatan.

“Saya jangkakan 50 peratus daripada jumlah pelaburan domestik yang dicatatkan pada separuh pertama lalu adalah daripada sektor pertanian dan diikuti industri.

“Pada masa sama, walaupun unjuran tarikan pelaburan yang lebih rendah tahun ini berbanding 2014 tidak mencerminkan secara keseluruhan bahawa industri bioteknologi tempatan mengalami kemerosotan di tahap yang membimbangkan kerana jumlah kemasukkannya masih meningkatan dari setahun ke setahun,” katanya.

Dasar Bioteknologi Negara (NBP) yang diperkenalkan pada 2005, menyasarkan kemasukan pelaburan sebanyak RM15 bilion yang menawarkan 160,000 peluang pekerjaan dan menyumbang sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Dasar itu juga menyasarkan kewujudan sekurang-kurangnya 20 syarikat berstatus BioNexus bertaraf global. Setakat ini, sejumlah 255 syarikat dianugerahkan status BioNexus sehingga Mei 2015, merangkumi 143 syarikat di bawah kluster AgBiotech, 69 syarikat di bawah cluster BioMedical dan 43 syarikat di bawah cluster BioIndustrial.

Nazlee berkata, daripada 255 syarikat BioNexus, sebanyak 30 peratus adalah syarikat Bumiputera dan pihaknya menjangkakan ia akan berkembang sehingga 35 peratus menjelang akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 7:19 AM