Kuala Lumpur: Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) berharap memperoleh pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM5 bilion tahun depan dengan sokongan tiga segmen paling kukuh syarikat iaitu pertanian, perindustrian dan farmaseutikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata walaupun Malaysia bersaing dengan negara serantau dalam memperoleh pelaburan berasaskan bioteknologi, beliau yakin syarikat dapat mencapai sasaran berdasarkan kelebihan negara dari segi strategi perniagaan, penyelarasan dan mekanisme sokongan.

“Kami agak memilih dalam membawa masuk pelabur kerana kami mahukan projek berimpak tinggi terutama menjelang fasa ketiga Dasar Bioteknologi Negara (DBN) pada 2016,” katanya selepas melancarkan Persidangan dan Pameran BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ibin.

Mohd Nazlee berkata sasaran pelaburan asal RM15 bilion bagi fasa ketiga DBN untuk tempoh 2016-2020 juga akan disemak semula pada kadar lebih tinggi memandangkan pelaburan diluluskan dalam fasa dua melepasi RM18 bilion.

Jumlah pelaburan diluluskan bagi industri berasaskan bioteknologi Malaysia dari 2011 hingga sekarang meningkat lebih sekali ganda kepada RM18.98 bilion berbanding sasaran RM9 bilion yang ditetapkan untuk tempoh 2011-2015.

BiotechCorp dalam kedudukan selesa dengan nisbah pelaburan tempatan dan antarabangsa 50-50 yang dicatat setakat ini.

Terdahulu Perdana Menteri menyaksikan pertukaran dokumen enam kerjasama dengan nilai pelaburan berjumlah lebih RM250 juta antaranya dengan Malaysia Debt Venture Bhd, Verdezyne, Thailand Centre of Excellence for Life Sciences, Gas Malaysia Bhd dan Sirim Bhd.

Beliau juga melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Bioekonomi (BTP) 2014 yang mengetengahkan pencapaiannya sejak dilancarkan dua tahun lalu.

Sehingga kini, BTP mencatat 25 projek pencetus yang dijangka menjana pendapatan negara kasar (PNK) RM4.2 bilion menjelang 2020.

Untuk tempoh jangka panjang, BTP menyasarkan PNK berjumlah RM48 bilion dengan penghasilan 170,000 peluang pekerjaan baru dan pelaburan bernilai RM50 bilion menjelang 2020. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:18 AM