Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang (tengah) dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau (dua dari kiri) melawat gerai pameran selepas merasmikan Majlis Hari Bioekonomi di Hotel Pullman Kuching.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang (tengah) dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau (dua dari kiri) melawat gerai pameran selepas merasmikan Majlis Hari Bioekonomi di Hotel Pullman Kuching.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching: Malaysian Biotechnology Corporation mengenal pasti enam elemen projek berasaskan bio di negeri ini yang berpotensi dilaksanakan menerusi Program Transformasi Bioekonomi (BTP) dan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP).

Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, enam fokus dikenal pasti berpotensi menjadi perintis kepada bioekonomi Sarawak, antaranya industri berasaskan makanan, industri oleo resin, industri berasaskan sumber, industri berasaskan produk semula jadi dan rangkaian bio refinery.

Beliau berkata, Sarawak kaya dengan sumber alam sekitar dan mempunyai banyak peluang untuk menghasilkan produk bermutu tinggi berasaskan bioteknologi melalui kajian di Pusat Biodiversity Sarawak yang bertapak di negeri ini lebih 20 tahun.

“Ketika ini, pihaknya mengenal pasti beberapa projek untuk dijalankan di negeri ini iaitu projek akuakultur, penternakan udang, ketam dan ikan empurau menggunakan tekonologi yang dibina syarikat tempatan.

“Selain itu, kita dalam perbincangan melaksanakan projek madu lebah menggunakan teknologi penternakan moden dan penanaman herba yang memberi semula pulangan kepada komuniti,” katanya pada sidang media Hari Bioekonomi di sini, baru-baru ini.

Mohd Nazlee berkata, kerjasama antara BiotechCorp, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Pusat Biodiversiti Sarawak mengukuhkan kerjasama mengembangkan industri berasaskan bio di negeri ini.

Katanya, sokongan RECODA terhadap projek berasaskan bioteknologi boleh digunakan dalam program BTP dan BCDP.

“Ketika ini, ada lapan syarikat BioNexus beroperasi di negeri ini dengan memfokuskan kepada teknologi marin dan akuakultur, bioteknologi tanaman, ternakan dan bioperubatan.

“Kewujudan lebih banyak syarikat Sarawak berasaskan BioNexus akan mewujudkan kemudahan infrastrutur dalam industri berasaskan bio di negeri ini,” katanya.

Menjelaskan mengenai BCDP, Mohd Nazlee berkata, komuniti setempat terbabit dalam sesuatu projek dengan syarikat bioteknologi bertindak sebagai penasihat dan pemantau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 6:51 AM