SAMBUTAN hari keluarga eratkan hubungan anak dan ibu bapa.
SAMBUTAN hari keluarga eratkan hubungan anak dan ibu bapa.

Gelak ketawa sekumpulan kanak-kanak dengan wajah dicat dapat didengari jelas apabila mereka melompat gembira di dalam beberapa istana plastik gergasi yang terletak di hujung Stadium Tertutup Bukit Kiara.

Di satu sudut yang lain pula, sokongan semangat dilaungkan oleh ahli keluarga masing-masing ketika mereka bersaing sebagai satu pasukan dalam acara sukaneka.

Kegembiraan mereka bermain adalah salah satu tanda perkembangan yang sihat. Malah tanpa disedari, ketika bermain itu kanak-kanak belajar berinteraksi, bersosial, berkongsi, saling bertolak ansur dan boleh bersaing secara sihat selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Nilai inilah yang mahu dipupuk oleh Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) apabila menganjurkan Hari Keluarga Prudential yang pertama kalinya diadakan di seluruh negara.

Peluang bersama anak, bermain dalam satu pasukan dan bertanding adalah saat yang sangat berharga bagi setiap keluarga, tidak kira apa pun latar belakang mereka. Ikatan keluarga yang harmoni adalah anugerah yang tidak boleh dijual beli.

Sebanyak empat Hari Keluarga Prudential diadakan, dimulai di Kuching (Borneo Convention Centre), Melaka (Melaka International Trade Centre), Ipoh (Brewster Village) sebelum ia berakhir di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif PAMB, Gan Leong Hin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan, ejen serta ahli keluarga mereka.

“Kami mengambil keputusan menganjurkan Hari Keluarga Prudential sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pelanggan serta ejen yang meletakkan kepercayaan serta menyokong kami selama lebih 90 tahun.

“Memandangkan hubungan kekeluargaan amat penting buat kami, kami mahu menganjurkan satu acara untuk mereka meluangkan masa berkualiti dengan keluarga dan pada masa yang sama dapat berseronok bersama keluarga,” katanya.

Semua keluarga dapat menikmati satu hari yang cukup menyeronokkan apabila mengambil bahagian dalam acara sukaneka, permainan di ruang pameran dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Perhatian pengunjung tertumpu ke atas pentas apabila ahli silap mata, pelawak dan penari Zumba menghibur serta melayan tetamu. Aktiviti lain yang turut diadakan termasuklah pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh hospital yang mengambil bahagian dan permainan realiti maya Keselamatan Jalan Raya SAFE STEPS yang direka untuk mendidik orang ramai mengenai bahaya di jalan raya.

Tetamu bertuah juga membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik seperti iPad Mini, pembersih udara, set teater rumah dan hadiah utama berupa percutian empat hari tiga malam untuk empat orang ke Disneyland Hong Kong bernilai RM7,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:32 AM