SEBAHAGIAN keluarga Mohamed bergambar beramai-ramai di Villa D’amor A Famosa Resort, Alor Gajah.
SEBAHAGIAN keluarga Mohamed bergambar beramai-ramai di Villa D’amor A Famosa Resort, Alor Gajah.
Masni Ros Pakir Mohamad


Kira-kira 100 waris daripada empat generasi keluarga Mohamed Kunchu Mohamad (MkM) berhimpun sempena Hari Keluarga MkM dan Majlis Aidilfitri di Villa D’amor A Famosa Resort, baru-baru ini.

Waris berusia sebulan hingga 84 tahun itu hadir dalam usaha mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menjadi memori terindah buat mereka yang hadir.

Setiausaha program, Mohd Asmawi Ashnar, 31, yang juga cucu kepada Mohamed dan generasi ketiga keluarga berkenaan berkata, perhimpunan keluarga itu mencapai objektif memandangkan ia kali pertama diadakan.

Menurutnya, perbincangan mengadakan majlis berkenaan dirancang sejak tahun lalu berikutan ramai waris menetap di luar Melaka.

Dia akui kerjasama yang ditunjukkan oleh setiap waris itu membuktikan sistem kekeluargaan perlu ada bagi memastikan generasi baru mengenali saudara-mara mereka.

Katanya, pelbagai acara menarik diadakan selama dua hari satu malam itu termasuk majlis tahlil, doa selamat dan sukaneka.

“Pasangan Mohamed dan Allahyarhamah Thiti Abdul Rahman mempunyai sembilan anak. Seorang anak lelakinya meninggal dunia 16 tahun lalu. Insya-Allah jika diizinkan, sepupu dan generasi Mohamed akan dijemput memeriahkan majlis berkenaan pada tahun hadapan.

“Jika boleh pertemuan keluarga besar itu diadakan setiap tahun untuk mengeratkan siraturahim antara satu sama lain,” katanya.

Dia berkata, bukan sesuatu perkara mudah untuk menganjurkan acara seumpama ini. Ia memerlukan komitmen semua pihak dan teknologi masa kini seperti WhatsApp untuk melicinkan segala perbincangan dan perancangan.

“Terima kasih atas kerjasama ahli keluarga Mohamed termasuk jawatankuasa yang menjadikan tugas lebih mudah,” katanya.

Menurut Mohd Asmawi, idea mengadakan majlis berkenaan timbul selepas masing-masing menyedari sedikit demi sedikit ahli keluarga berhijrah ke seluruh pelosok tanah air.

“Kami menyedari saban tahun ahli keluarga Mohamed bertambah melalui perkahwinan. Jadi, kami mencadangkan supaya diadakan majlis mengumpul seluruh legasi Mohamed supaya mereka dapat mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Dia berkata, sebelum ini, hanya acara bermain boling diadakan setiap tahun pada hari raya ketiga, namun tidak ramai yang dapat menyertainya berikutan ada yang tidak dapat bercuti.

Sementara itu, Mohamed ketika ditemui berkata, dia amat gembira apabila hampir keseluruhan anak, menantu, cucu dan cicit hadir pada majlis berkenaan.

“Dengan umur 84 tahun ini, saya bersyukur dapat melihat 23 cicit saya. Saya juga berharap hari keluarga ini dijadikan acara tahunan dan tidak semestinya ia diadakan pada hari raya saja.

“Usaha dilakukan oleh sekumpulan cucu saya mengadakan hari keluarga ini amat dialu-alukan dan diucapkan terima kasih kerana tanpa usaha mereka, pertemuan keluarga besar ini tidak dapat dijalankan dengan jayanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 12:05 PM