Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan Hong Kong menjadi pemusnah impian pemain negara di Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Paris selepas tewas 1-2 dalam aksi suku akhir, pagi semalam.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian dua tahun lalu apabila muncul naib juara dan ia juga pencapaian terburuk sejak 2004.

Mengikut syarat pertandingan berdasarkan kedudukan ranking pemain, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, mempertaruhkan juara Kebangsaan Delia Arnold yang juga pemain ke-15 dunia sebagai perseorangan pertama.

Namun pemain berusia 30 tahun itu tewas kepada Joey Chan 11-8, 5-11, 11-9, 3-11, 6-11 dalam tempoh 57 minit.

Bagaimanapun, juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David (gambar) kembali menghidupkan peluang negara apabila menyamakan kedudukan 1-1 selepas menewaskan Annie Au 11-7, 11-2, 11-4.

Pada perlawanan penentuan, Malaysia yang menurunkan S Sivasangari gagal mengekang kehandalan Tong Tsz Wing yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 9-11, 17-15, 11-13, 6-11.

Bagi pengurus pasukan Mejar (B) S Maniam, kekalahan itu sesuatu yang mengecewakan apabila buat pertama kali sejak 2004 pemain gagal menempatkan di dalam kelompok empat terbaik.

“Kami menjadi lemah apabila kehilangan Low Wee Wern sehari sebelum berlepas ke Paris.

“Namun sekurang-kurangnya kita dapat lihat masa depan pemain muda seperti Sivasangari dan Rachel Arnold. Saya yakin pemain akan memberi yang terbaik untuk penentuan tempat ke-5/8 selepas ini,” katanya.

Malaysia akan menentang New Zealand dalam aksi penentuan tempat ke-5/8.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:09 AM