Kuala Lumpur: Saingan Kejohanan Skuasy Wanita Dunia akan bermula secara rasminya esok dengan Datuk Nicol David (gambar) bakal mengetuai cabaran barisan negara memburu kejuaraan.

Selain Nicol, turut beraksi adalah pemain nombor dua negara, Delia Arnold dan Low Wee Wern selepas semua lapan pemain negara yang beraksi di pusingan kelayakan gagal mara ke undian utama.

Aksi kelayakan semalam menyaksikan hanya Rachel Arnold memberi tentangan sengit kepada lawan dari Belanda Milou Van Der Heijden sebelum tewas dalam pertarungan lima set 11-6, 11-8, 10-12, 8-11, 12-10.

S Sivasangari tewas kepada pemain muda Mesir Nadine Shahin 8-11, 4-11, 12-10, 7-11 dan hasrat Vanessa Raj untuk mara turut terkubur di tangan pemain Mexico Samantha Teran 6-11, 4-11, 11-5, 5-11.

Manakala Zoe Foo Yuk Han, Teh Min Jie, Nazihah Hanis, Andrea Lee dan Aika Azman tewas straight set kepada lawan masing-masing.

Rachel mengaku melakukan kesilapan dalam set penentuan biarpun mendahului 10-7 pada satu ketika.

“Saya begitu ingin menamatkan perlawanan dengan cepat namun langkah itu memakan diri saya.

“Saya sepatutnya mengekalkan rentak sehingga akhir tetapi saya terlepas peluang dan kekalahan ini memberi pengajaran berguna kepada saya agar tidak mengulangi kesilapan yang sama,” kata adik kepada pemain nombor dua negara, Delia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 5:56 AM