PASUKAN Inderapura Sepakat meraikan kejayaan muncul juara kategori lelaki.
PASUKAN Inderapura Sepakat meraikan kejayaan muncul juara kategori lelaki.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Pasukan Inderapura Sepakat dan Joy FC muncul juara kategori lelaki dan wanita sempena Kejohanan Futsal Padang Parlimen Kuantan 2015, sekali gus membawa pulang Piala Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Pada aksi final itu, Inderapura Sepakat menang 1-0 ke atas Rancangan Rumah Murah (RRM) Peramu Maju dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta piala kejohanan, manakala naib juara menerima RM2,000.

Seri Kota SAS dan Belia 4B Kuantan yang menduduki tempat ketiga dan keempat, menerima wang tunai RM750.

Bagi kategori wanita, Joy FC muncul juara menerusi penentuan penalti 2-1 ke atas L-World, sekali gus meraih wang tunai RM1,000, manakala pasukan naib juara menerima RM700.

Tempat ketiga dan keempat menjadi milik Spark dan Universiti Malaysia Pahang (UMP)VV, masing-masing menerima wang tunai RM300.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Hamid Nazahar.

Pada kejohanan itu, sebanyak 56 pasukan berentap dalam kategori lelaki manakala lapan pasukan wanita mengambil bahagian dalam edisi pertama dianjurkan Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Kuantan.

Sementara itu, Jurulatih Inderapura Sepakat Abdul Latin Mohd Ali berkata, pengalaman beraksi dalam banyak kejohanan membantu pasukan itu bergelar juara biarpun pada awalnya mereka mensasarkan aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:19 AM