OTHMAN (tengah, baju hitam) bergambar bersama pemenang acara larian Gua Kerbau Trail Run 2017 di Kodiang.
OTHMAN (tengah, baju hitam) bergambar bersama pemenang acara larian Gua Kerbau Trail Run 2017 di Kodiang.
Izzali Ismail


KEUNIKAN Gua Kerbau yang agak tenggelam sebelum ini kini kembali mendapat perhatian warga sukan khususnya dalam acara larian melalui inisiatif Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) yang menganjurkan Gua Kerbau Trail Run 2017 di Kodiang, Kedah, hari ini.

Acara itu berjaya menarik penyertaan 500 peserta dari seluruh negara untuk melihat keunikan gua berkenaan sekali gus mempromosikannya sebagai satu daripada tempat pelancongan menarik di kawasan Kubang Pasu.

Daripada jumlah itu, 150 peserta menyertai acara 'Fun Run' dan 350 lagi untuk kategori Remaja (lelaki dan perempuan) 13 tahun hingga 17 tahun, Terbuka Lelaki dan Wanita 18 tahun hingga 39 tahun serta Kategori Lelaki Senior (39 tahun ke atas).

Larian sejauh 12 kilometer itu yang dikelilingi permandangan sawah padi, gua berusia lebih 200 tahun dan kawasan perkampungan.

Menurut Ahli Parlimen Jerlun yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz, sokongan dan usaha penganjuran yang dilakukan oleh MDKP untuk program sukan itu menjadikan Gua Kerbau kembali dikenali.

"Secara langsung melalui aktiviti sebegini, Gua Kerbau satu ketika antara tarikan utama di kawasan Jerlun ini yang turut mendapat suntikan peruntukan oleh kerajaan melalui Kementerian Pelancongan sebanyak RM600,000 pada 2006 akan terus mendapat perhatian.

"Perancangan seterusnya untuk Gua Kerbau ini adalah menambah keselesaan semua pengunjung daripada segi akses dari jalan utama yang lebih dekat, meluaskan kawasan parkir kenderaan dan juga menambahkan lagi jarak trek larian daripada 12 kilometer yang sedia ada."

"Kini pihak MDKP dan agensi kerajaan terutama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bersama menjalinkan usaha untuk meningkatkan nama Gua Kerbau di mata pelancong dan seterusnya menjadikan ia 'Ikon' daerah Jerlun," katanya ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan larian itu.

Pemenang utama bagi kategori Lelaki Senior (40 Tahun keatas) yang menawarkan hadiah utama bernilai RM500 dimenangi oleh Rosli Naina Mohamed, sementara kategori Lelaki dan Wanita Terbuka (18-39 tahun) milik Ku Alif Aiman Zainol dan Tan Bee Ping dengan

masing-masing membawa pulang RM500 sebagai hadiah utama.

Bagi kategori Lelaki dan Perempuan 'Junior' diungguli Khairul Amirin Kamarudin dan Nur Syazwani Abdul Rashid, masing masing menerima wang tunai RM300.

Majlis yang dianjurkan oleh Unit Pelancongan Daerah Kubang Pasu itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu, Mohd Fisol Md Noh yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 7:58 PM