BERGSON kurang menyerlah pada aksi suku akhir pertama . FOTO Owee Ah Chun
BERGSON kurang menyerlah pada aksi suku akhir pertama . FOTO Owee Ah Chun
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora harus lebih kreatif membentuk barisan serangan lebih ampuh apabila berdepan Kedah Darul Aman FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Walaupun memiliki kelebihan beraksi di stadium keramat, pasukan itu tidak boleh memandang rendah keupayaan skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak untuk melakar kejutan selepas mencatat keputusan 0-0 aksi pertama di Stadium Darul Aman, Ahad lalu.

Bagi Mora ia pasti tugas lebih mencabar untuk membentuk gandingan serangan lebih efektif dalam usaha merobek gawang skuad Lang Merah selepas usaha sepanjang 90 minit di Alor Setar tampak buntu biarpun melakukan lebih 13 percubaan pada aksi pertama.

"Sudah tentu kami mahu menang dalam aksi kedua. Kami akan berusaha untuk memastikan kemenangan memihak JDT. Ketika ini tiada siapa yang berkelebihan selepas aksi pertama berkesudahan seri 0-0 dan aksi suku akhir kedua ibarat misi hidup dan mati.

"Kami akan berjuang habis-habisan kerana mentaliti yang diterapkan kepada pemain adalah fokus untuk menang," kata Mora.

Namun persoalan timbul, adakah kelibat Bergson Da Silva yang kurang menyerlah ketika aksi suku akhir pertama bakal berada di kesebelasan utama manakala Safawi Rasid yang seolah-olah hilang sentuhan magis akan diberikan kepercayaaan dalam skuad utama.

Jika dinilai prestasi semasa, Mora perlu menyenaraikan Gonzalo Cabrera dalam kesebelasan utama untuk menjadi tonggak bagi mengemudi jentera serangan selepas Safawi tampak tenggelam beraksi di posisi sayap kiri.

Di posisi serangan, pemain naturalisasi Guilherme De Paula atau Syafiq Ahmad mampu menggalas tugas selaku penyerang seandai khidmat Bergson yang kurang menyerlah pada aksi suku akhir pertama diketepikan bagi memberi laluan kepada Cabrera beraksi.

Apapun, Mora juga perlu memastikan set-piece setiap kali JDT diberikan sepakan sudut mampu beri impak bagi merobek gawang skuad Lang Merah kerana peluang terbaik mencipta gol berpunca daripada situ.

Malah posisi tengah yang bakal diterajui Leandro Velazquez, Irfan Fazail dan Natxo Insa pasti menjadi nadi utama bagi menggerakan jentera serangan dalam usaha memburu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 2:44 PM