Omar Osman


Sungai Petani: Tidak sampai 45 minit, 900 botol minyak masak 2kg habis diagih secara percuma oleh Cikgu Ghani di depan rumahnya di Kampung Masjid Tikam Batu, di sini, awal pagi ini.

Seawal kira-kira 6 pagi, wanita sebahagian besarnya surirumah berbaris di depan Cikgu Ghani atau Abdul Ghani Haron, 60, bagi mendapatkan minyak masak itu.

Sebelum ini, rumah dermawan terbabit menjadi tumpuan apabila dia mengagihkan 2,000 kampit beras seberat lima kilogram kepada orang ramai selain sumbangan lain.

Abdul Ghani berkata, bukan untuk mencari nama atau ada kepentingan sendiri, sebaliknya pemberian minyak masak percuma bertujuan meringankan beban masyarakat.

“Terutama golongan kurang berkemampuan ekoran kenaikan harga minyak masak secara mendadak,” katanya.

Katanya, dia agak terkejut ramai berbaris panjang di luar pagar menyebabkan masa pemberian terpaksa diawalkan.

"Tak sampai 45 minit 900 botol minyak masak 2kg habis diagihkan kepada masyarakat setempat.

"Saya mohon maaf...jika boleh saya mahu bagi kepada semua yang datang.

“Tapi, agak sukar untuk membeli minyak masak begini kerana dikawal sepenuhnya,” katanya.

Abdul Ghani berkata, beliau merancang menyalurkan bantuan minyak masak dan beras bulan depan jika tiada aral melintang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 10:14 AM